top of page

Johor pilih kestabilan, kesinambungan pembangunan - Saifuddin

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) menyeru rakyat Johor supaya memilih kestabilan, kesinambungan pembangunan dan kerajaan yang terbukti mampu menyampaikan hasil, ketika negeri itu bakal membuat pilihan penting pada hari pengundian esok.


Beliau berkata, kerajaan yang baik tidak seharusnya dinilai berdasarkan banyaknya janji yang ditaburkan sebaliknya melalui pencapaian dan hasil kerja yang dapat dilihat serta dirasai oleh rakyat.


"Esok, Bangsa Johor akan membuat satu pilihan yang penting. Teruskan memilih kestabilan, kesinambungan pembangunan dan sebuah kerajaan yang bekerja, menyampaikan hasil serta mengutamakan kepentingan rakyat. Insya-Allah, kita terus melangkah bersama," katanya dalam hantaran di media sosial.


Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pendekatan itu menjadi pegangan Kerajaan MADANI yang memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek berimpak tinggi demi manfaat rakyat selain memacu pertumbuhan ekonomi negara dan Johor.


Menurut beliau, antara bukti komitmen kerajaan ialah Projek RTS Link Johor Bahru-Singapura yang kini hampir menjadi kenyataan dan dijangka siap menjelang penghujung tahun ini.


Katanya, projek itu bakal mempunyai kapasiti sehingga 120,000 penumpang sehari sekali gus memudahkan perjalanan harian rakyat yang berulang-alik antara Johor Bahru dan Singapura.


Beliau berkata, RTS Link juga dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan, merancakkan aktiviti ekonomi, meningkatkan daya saing Johor serta memberi limpahan manfaat kepada perniagaan tempatan dan kesejahteraan rakyat.


Saifuddin berkata, Johor sebagai pintu masuk utama negara mempunyai peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia.


"Johor adalah pintu masuk utama negara. Apabila Johor terus maju, ekonomi Malaysia juga akan terus berkembang."


Beliau menegaskan Kerajaan MADANI akan terus memberi keutamaan kepada pembangunan yang memberi impak tinggi bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati seluruh Bangsa Johor.


Mengulas mengenai pendekatan kerajaan, Saifuddin berkata rakyat menilai sesebuah pentadbiran bukan berdasarkan janji semata-mata, tetapi melalui hasil yang berjaya direalisasikan.


"Kerajaan MADANI percaya rakyat menilai sesebuah kerajaan bukan pada banyaknya janji, sebaliknya pada hasil kerja yang dapat dilihat dan dirasai," ujarnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page