Johor hab pusat data: Elak kekurangan sumber bekalan air, elektrik
- Suara Keadilan
- Aug 15
- 2 min read

Johor kini berada di barisan hadapan pembangunan pusat data negara dengan 42 projek bernilai RM164.45 bilion diluluskan setakat suku kedua 2025, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Projek-projek tersebut mewakili 78.6% kapasiti operasi teknologi maklumat Malaysia dan dijangka mewujudkan lebih 6,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi - menjadikan Johor hab AI dan ekonomi digital serantau menjelang 2030.
Namun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern, mengingatkan Kerajaan Negeri bahawa potensi tersebut mestilah disokong oleh perancangan infrastruktur yang rapi bagi mengelakkan tekanan terhadap sumber asas negeri seperti air dan elektrik.
"Pengalaman antarabangsa membuktikan bahawa pertumbuhan pesat pusat data tanpa pengurusan sumber yang mampan boleh membawa kesan negatif," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, merujuk data daripada Ir Dr Justin Lai Woon Fat dan laporan Bernama 2023, bahawa purata penggunaan air pusat data di Singapura mencecah 2.6–3.5 liter bagi setiap kWh elektrik, bersamaan lebih 6 juta liter sehari untuk kemudahan berskala 100MW.

Manakala permintaan tenaga pula, kata Ketua Biro Ekonomi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Johor itu, telah mencecah 1,500MW di Johor, sekali gus menuntut peningkatan kapasiti grid dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui bagi mengelakkan risiko gangguan bekalan.
"Negara seperti Texas, Ireland, dan Chile pernah berdepan masalah apabila kapasiti pusat data berkembang lebih pantas berbanding kemampuan grid elektrik atau sumber air mereka," katanya sebagai perbandingan.
Bagaimanapun, Arthur dalam masa sama memuji inisiatif Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) melalui Johor Special Water (JSW) yang mampu membekalkan sehingga 12 juta liter air dipulih guna sehari kepada pusat data, termasuk Bridge Data Centres (BDC), Computility Technology Malaysia, dan Dayone Data Centre Malaysia II Sdn Bhd.
Oleh itu, bagi memperbaiki perancangan ke depan industri data di Johor, Arthur Chiong mencadangkan agar kerajaan meningkatkan kapasiti loji rawatan air dan penggunaan teknologi penyejukkan alternatif atau sistem kitar semula air; Memperkukuh infrastruktur tenaga dengan pembinaan stesen janakuasa tenaga boleh diperbaharui; dan mewajibkan pelaporan telus penggunaan air dan tenaga oleh pengendali pusat data.
"Dengan langkah-langkah ini, Johor berpotensi bukan sahaja muncul sebagai pusat data dan AI terbesar di rantau ini, malah menjadi model pembangunan digital yang seimbang antara kemajuan ekonomi dan kelestarian sumber," katanya lagi.
Comments