Johari seru Speaker jadi pengadil bijak, saksama buat keputusan
- Suara Keadilan

- Dec 21, 2025
- 1 min read

Peranan Speaker Dewan Undangan Negeri dan Parlimen sebagai pengadil yang bijak, adil dan berkecuali perlu diperkukuh.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul berkata, langkah itu bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi legislatif itu terus terpelihara dan kekal dihormati.
Tambahnya, dalam era kepercayaan awam terhadap institusi sering teruji, Speaker juga perlu menjadi benteng yang mempertahankan integriti dewan sebagai institusi semak dan imbang terhadap badan eksekutif.
"Institusi legislatif ini sangat penting kerana ia melambangkan kedudukan kita di tengah-tengah urusan perundangan negara.
"Dewan perlu berfungsi sebagai 'house of democracy' - platform utama demokrasi yang diamalkan secara tertib, sekali gus menjadi medium pendidikan untuk pemimpin masa depan.
"Speaker mesti dilihat sebagai pengadil yang adil, tidak memihak mana-mana parti politik dan bertindak secara saksama dalam memastikan keputusan yang dicapai mampu memberi manfaat kepada rakyat," katanya dipetik.
Terdahulu, Johari menghadiri Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia di Banda Hilir, Melaka pada Sabtu
Persidangan disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh antara lain bagi memperkemas dan menyeragamkan piawaian legislatif antara Parlimen dan DUN.
Ia turut menjadi platform perkongsian amalan terbaik antara dewan-dewan legislatif, mengukuhkan peranan institusi legislatif sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap eksekutif, serta membincangkan cabaran baharu dalam landskap perundangan negara.









Comments