JKR Sabah perlu baiki jalan berlubang Kota Marudu ke Kota Kinabalu
- Suara Keadilan
- Jan 30
- 1 min read

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah menggesa agar Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sabah segera membaiki jalan rosak dan berlubang di Daerah Kota Marudu sehingga ke Kota Kinabalu.
Ketua AMK Sabah, Zaidi Jatil berkata, keadaan jalan yang uzur itu bukan sahaja mengganggu pergerakan pengguna tetapi juga membahayakan keselamatan mereka.
Hal itu, kata beliau telah berlarutan sejak sekian lama tanpa penyelesaian konkrit.
"Jalan raya utama yang menghubungkan Kota Marudu ke Kota Kinabalu adalah laluan bagi penduduk dan peniaga. Permukaan jalan yang berlubang dan tidak diselenggara dengan baik menyebabkan risiko kemalangan meningkat. Ini adalah satu perkara serius yang perlu diberi perhatian segera oleh JKR Negeri
"Mahu berapa ramai yang mati baru JKR Sabah akan bertindak? Hari-hari ada sahaja tayar kereta pecah ataupun rim rosak akibat terlanggar lubang," katanya dalam kenyataan.
Menurut Zaidi lagi, kerosakan jalan tersebut bukan sahaja menjejaskan kelancaran perjalanan harian tetapi memberikan imej buruk kepada pembangunan infrastruktur di Sabah.
"Keadaan jalan yang tidak memuaskan memberi impak negatif kepada sektor ekonomi, terutamanya bagi peniaga kecil yang sering menggunakan laluan berkenaan untuk menghantar barangan dagangan mereka," katanya.
Selain itu, kata beliau, AMK Sabah juga menggesa JKR Negeri menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap jalan raya di kawasan terbabit; memulakan kerja pembaikan segera dan menyediakan pelan penyelenggaraan berkala bagi mengelakkan kerosakan jalan berulang.
"Kami berharap Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan segera untuk menangani isu ini. Keselamatan pengguna jalan raya dan keperluan ekonomi penduduk harus menjadi keutamaan," katanya lagi.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Angkatan Muda Harapan Sabah menyeru agar semua pihak, termasuk masyarakat setempat untuk bekerjasama memastikan aduan berkaitan jalan rosak disalurkan kepada pihak berwajib dengan cara yang betul.
Comments