JKOM pergiat usaha tangani penyebaran maklumat palsu
- Suara Keadilan

- 5 hours ago
- 1 min read

Penyebaran fitnah menerusi media sosial kini dianggap berada pada tahap serius dan memerlukan tindakan proaktif kerajaan serta agensi penguat kuasa.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali (gambar) berkata pihaknya akan terus mempergiat usaha memberikan penjelasan pantas terhadap isu kritikal yang tular, selain bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani penyebaran maklumat palsu dan fitnah.
"Fitnah dengan kritikan adalah dua perkara berbeza. Kritikan tidak menjadi masalah, tetapi fitnah yang menggunakan maklumat salah untuk memfitnah kerajaan tidak seharusnya berlaku.
"Mana-mana kerajaan atau individu juga tidak sepatutnya difitnah kerana ia dilarang agama dan bertentangan dengan undang-undang," katanya dipetik laporan media.
Beliau berkata begitu kepada pemberita selepas merasmikan Program Komuniti Rakyat Madani (PKRM) Zon Utara di Padang Awam, Taman Bayam, di Kedah pada Sabtu.
Mengulas mengenai program berkenaan beliau berkata, JKOM menyasarkan kira-kira 12 kawasan Parlimen bagi program libat urus bersama masyarakat, khususnya golongan muda bagi memberi ruang kepada mereka mendapatkan penjelasan terus daripada agensi kerajaan berhubung isu semasa.
Sementara itu, Mohd Hisyamuddin turut menyeru semua pihak untuk terus mempertahan keamanan dikecapi dengan tidak memainkan sentimen perkauman terutama menjelang pilihan raya.
Malaysia tegasnya merupakan sebuah negara majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa, justeru keharmonian serta sikap saling menghormati perlu sentiasa dipelihara.
"Usaha mencetuskan ketidakharmonian antara kaum tidak seharusnya dibiarkan, tindakan tegas perlu diambil mengikut peruntukan undang-undang," tegasnya.




Comments