JKM Selangor beri kaunseling, ringan beban emosi keluarga arwah Syamsul Haris
- Suara Keadilan

- Aug 20
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor memberi perhatian penuh kepada kebajikan keluarga Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang meninggal dunia Julai lalu.
Exco Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari (gambar) berkata, ini termasuk dari sudut bantuan kaunseling dan sokongan untuk meringankan tekanan emosi yang ditanggung keluarga.
"Segala usaha digerakkan supaya keluarga tidak melalui saat sukar itu bersendirian. Petugas JKM Selangor telah hadir menziarahi ibu mangsa dan memberi bantuan kaunseling.
"Sokongan ini akan diteruskan sepanjang tempoh ibu dan keluarga Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin memerlukan," katanya dipetik selepas menghadiri satu acara di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz pada Selasa.
Allahyarham Syamsul Haris, penuntut jurusan Sains Komputer (Keselamatan Siber), dipercayai meninggal dunia ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) Johor.
Ibu mangsa, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, mendakwa terdapat kesan-kesan lebam dan kecederaan pada jasad anak lelakinya dan memohon satu Inkues dijalankan bagi menyiasat punca kematian anaknya.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari pada Jumaat lalu menziarahi keluarga Syamsul Haris dan menyatakan kesediaan pihak Kerajaan Negeri memberikan bantuan sepenuhnya kepada keluarga mangsa bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.









Comments