top of page

Kenakan tindakan tegas pemilik kenderaan asing guna RON95 - Jimmy Puah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jan 6
  • 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman


Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse menggesa kerajaan memperluaskan skop penguatkuasaan undang-undang berkaitan penjualan petrol bersubsidi RON95 supaya bukan sahaja stesen minyak, malah pemandu kenderaan berdaftar asing turut boleh dikenakan tindakan.


Beliau berkata, beberapa kes yang tular di media sosial melibatkan kenderaan asing, termasuk kereta berdaftar Singapura yang disyaki mengisi petrol RON95 secara tidak sah di stesen minyak tempatan membuktikan keperluan supaya undang-undang perlu diperkasa.


"Menurut Akta Kawalan Bekalan 1961, kenderaan berdaftar asing hanya dibenarkan membeli RON97. Namun pada masa ini tindakan penguatkuasaan lebih tertumpu kepada pihak pengendali stesen minyak, manakala pemandu terlepas daripada sebarang hukuman.


"Keadaan ini menimbulkan kelompongan penguatkuasaan. Skop undang-undang perlu diperluaskan supaya pemandu juga dipertanggungjawabkan dan dikenakan denda jika didapati melanggar peraturan," katanya dalam satu kenyataan.


Jimmy Puah
Jimmy Puah

Jimmy Puah mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan langkah lebih tegas termasuk menyenarai hitam dan melarang kenderaan asing yang melanggar peraturan dari memasuki negara bagi tempoh tertentu sebagai pengajaran.

Sementara itu Jimmy Puah berkata, Malaysia sentiasa terbuka menerima pelawat asing, namun perlu mematuhi peraturan serta menghormati dasar yang ditetapkan demi kepentingan rakyat tempatan.


"Ketika ini, harga RON97 (dimalaysia) ialah RM3.16 seliter, manakala di Singapura RON95 berharga SGD 2.736 seliter (RM9.60) yang bermakna, walaupun membeli RON97 di Malaysia, harga masih lebih murah lebih tiga kali ganda berbanding di Singapura.

"Melanggar undang-undang dengan mengisi RON95 demi menjimatkan sedikit wang adalah tidak wajar. Isu ini bukan sekadar soal harga minyak, tetapi melibatkan soal integriti, keadilan subsidi dan penghormatan terhadap undang-undang negara," tegas beliau.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page