Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melewatkan pendaftaran undi dari 21 tahun ke 18 tahun yang telah diluluskan oleh Parlimen pada bulan September 2019 turut tidak disenangi oleh pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Pulau Pinang, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.
Beliau berkata, masa yang diambil terlalu lama oleh pihak SPR dalam membangunkan sistem yang membolehkan pendaftaran awam secara automatik.
"Jika berlaku pilihan raya dalam masa yang terdekat maka pengundi 18 tahun ke 20 tahun yang berjumlah 1.2 juta tidak dapat bersama dalam proses demokrasi negara untuk menentukan kerajaan pilihan sedangkan ia telah diluluskan oleh majoriti 2/3 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat," katanya.
Pada masa sama, Bakhtiar juga tidak bersetuju pandemik Covid-19 dijadikan sebagai alasan kelewatan tersebut.
"Kita ambil maklum Covid-19 yang melanda negara dan dunia yang masih belum lagi reda dan terkawal tetapi bukanlah menjadi alasan untuk terus melengahkan proses melaksanakan undi 18 tahun ini.
"Kami berharap dengan kemasukkan vaksin dan perlaksanaan suntikan kepada rakyat Malaysia secara berperingkat yang sedang berlangsung akan membantu mengurangkan jangkitan baru dalam masa terdekat. Jika kurangnya risiko jangkitan, maka SPR dapat melancarkan proses pembangunan sistem ini dengan cepat," katanya.
Bakhtiar juga meminta SPR supaya menangani isu pengundi 21 tahun ke atas yang berjumlah 4.4 juta orang yang masih belum berdaftar supaya dapat didaftar sekali dalam sistem pendaftaran secara automatik ini.
"Justeru itu, pihak kami meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada SPR untuk memperakui dan melaksanakan keputusan oleh badan legislatif tertinggi negara agar pendaftaran negara automatik kepada pengundi 18 tahun dan yang telah layak umur 21 tahun ke atas yang belum berdaftar dipercepatkan.
"Ianya akan membantutkan proses demokrasi negara," katanya.
コメント