Jika PM terus derhaka enggan umum tarikh sidang, Ahli Parlimen ke Parlimen 19 Julai


Tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang masih menyepi tidak mengumumkan tarikh sidang Parlimen biar pun setelah 3 kali dititah oleh Yang di-Pertuan Agong berbuat demikian mendapat kritikan keras Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini.


Menurut kenyataan Majlis Presiden, biar pun kenyataan media bersama Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat bertarikh 30 Jun lalu mencadangkan kepada Perdana Menteri untuk mengadakan satu persidangan khas Parlimen sebelum 1 Ogos 2021, namun sikap berdiam diri PM dan Menteri Undang-undang amat dikesalkan.


"Kami kesal sehingga hari ini Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tentang langkah konkrit untuk menjunjung titah Seri Paduka Baginda berhubung sidang Parlimen

secepat mungkin sebelum 1 Ogos 2021.


"Majlis Presiden berpandangan Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah melakukan penderhakaan terhadap bukan sahaja Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, tetapi juga terhadap KDYMM Raja-Raja Melayu yang turut menzahirkan pandangan bahawa Parlimen perlu bersidang segera.


"Sekiranya Perdana Menteri dan Menteri-Menterinya masih berdegil menderhaka kepada Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Melayu maka mereka bertanggungjawab mencetuskan krisis Perlembagaan," kata mereka.


Majlis Presiden dengan itu, sekali lagi menegaskan sidang Parlimen perlu dilaksanakan sebelum 1 Ogos sebagaimana yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 29 Jun lalu.


Sekiranya sidang masih tidak ditetapkan tarikhnya maka Majlis Presiden menyeru kepada Ahli-ahli Parlimen yang menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar pergi ke Parlimen pada 19 Julai ini.


"Sidang Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos bagi membahaskan krisis pandemik Covid-19 serta Proklamasi Darurat, Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara, seperti titah pandangan Seri Paduka Baginda.


"Ini untuk memastikan usaha berkesan mengekang penularan wabak Covid-19 dan menyelesaikan masalah ekonomi dan kehidupan harian yang dihadapi rakyat.


"Rakyat sekarang sangat tertekan sehingga ada yang telah membunuh diri dan ada yang telah mengibarkan bendera putih, maka sidang Parlimen ini mesti memberi fokus isu rakyat dan bukan isu politik.


"Oleh itu, sekiranya Perdana Menteri tidak membuat sebarang pengumuman berkaitan sidang Parlimen selewat-lewatnya 5 Julai, maka kami menggesa semua Ahli Parlimen sama ada Pembangkang mahupun Kerajaan yang menjunjung titah Tuanku dan menghormati semangat Perlembagaan menurut prinsip demokrasi berparlimen, untuk bersama-sama ke Parlimen pada 19 Julai 2021," katanya lagi.


Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
19198
292
20980
Total
1,979,698
20,711
1,721,710

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
349,788
5,246
372,363
Total
225,423,690
4,643,538
200,274,221

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER