'Jika perintah PH boleh beri peruntukan rumah generasi kedua, selesai masalah Felda'
- Redzuan Shamsudin
- Mar 6, 2022
- 3 min read

Johor merupakan negeri kedua paling banyak mempunyai gugusan Felda selepas Pahang. Namun masalah yang membelenggu warga peneroka tidak pernah diselesaikan secara tuntas.
Bagi Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, sekiranya KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH) diberi mandat pada 12 Mac ini, maka penyelesaian masalah perumahan generasi kedua Felda misalnya, boleh ditemukan.
Katanya, Kerajaan Negeri perlu memberi peruntukan ke arah itu, juga penyelesaian kepada masalah input pertanian melambung harga perlu diberi sedikit bantuan oleh Kerajaan Negeri.
"Di DUN Johor Lama ini yang uniknya ada Felda, misalnya Felda Air Tawar. Sekarang orang sawit tengah gembira kerana harga RM8,000 (setan). Masa saya jadi Timbalan Menteri (Timbalan Menteri Industri Utama) harga RM2,000, pening kepala.
"Tetapi waktu itu kita kerja keras kerana harga dunia beri kesan kepada kita. Sekarang saya nak tanya orang Felda, betul harga sawit meningkat RM8,000 tetapi adakah dapat manfaat? Kita tahu hasil kurang. Walaupun harga baik tetapi hasil kurang. Input pertanian mahal, baja mahal, racun mahal.
"Ada bantuan dari kerjaaan? Tidak ada. Menteri nak selesai harga barang pun buat macam macam jawatankuasa. Harga barang naik pergi jumpa mengeluar, tak perlu jawatankuasa. Amat perlahan tindakan kerajaan BN selesaikan masalah rakyat.
"Masuk ke Felda tidak ada sebarang perubahan. Termasuk rumah generasi kedua. Antara perkara paling penting, ada tanah tak ada duit. Siapa nak bagi duit? Kerajaan Negeri kena bantu.
"Kalau Johor negeri kaya, peruntukan duit ada. Saya yakin rumah generasi kedua boleh buat dengan harga RM60,000. Setiap kali pilihan raya isu perumahan ini dimainkan. Kalau betul nak bantu anak peneroka Kerajaan Negeri perlu beri peruntukan bantu peneroka. Kalau tidak jangan cerita rumah generasi kedua ini," katanya dalam ceramah bersama rakan baik beliau, calon DUN Johor Lama, Omar Mokhtar A Manap, malam tadi.
Menurut Shamsul lagi, pengundi dalam Pilihan Raya Negeri Johor harus membuka mata dengan tawaran manifesto PH yang dilancarkan kelmarin. Antaranya bertekad mengembali dan menambah baik skim skim bantuan rakyat yang diabaikan oleh kerajaan BN selepas mengambil alih pentadbiran daripada PH pada Februari 2020.
"Kali ini kita masuk untuk tubuh kerajaan. Perkara pertama kita akan selesaikan masalah ekonomi. Kita akan buka sempadan. Muhyiddin Yassin bila tanya sempadan Johor dengan Singapura, mereka kata akan tengok. Apa nak tengok kalau dah kita tadbir dengan baik, tak ada masalah (Covid). Negara lain UK, negara Eropah, Turki mereka benarkan pelancong masuk dan merancakkan ekonomi. Johor kita bergantung dengan ekonomi Singapura.
"Untuk merancakkan ekonomi dalam manifesto kita beritahu dengan jelas, kita akan buka sempadan dan merancakkan ekonomi
"Kedua kita teruskan program anak muda. Kita beri geran RM5,000 - RM10,000 untuk generasi muda. Untuk mereka meneruskan dengan program ekonomi
"Kita akan pastikan dari segi kesihatan kad sihat untuk rakyat Johor. Orang Johor kalau sakit mereka pergi klinik tidak perlu bimbang.
"Saya harap tawaran ini membuka mata kita," katanya.
Selain itu, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu juga memberi petua kepada pengundi Johor yang bakal didatangai agen BN dan PN menawarkan 'wang pelicir' mengundi pada 11 Mac kelak.
Beliau mengajarkan mantera untuk menghilangkan gundah gulana di hati pengundi untuk membuat perubahan pada kali ini.
"Akhirnya waktu PRN penyokong BN akan datang beri duit. Saya beritahu kalau berlaku 11 Mac ini, ambil duit itu tetapi jangan pangkah BN dan PN.
"Bagi yang takut baca tangkal. Mereka ada yang takut orang yang bagi duit itu tahu dia undi sapa, baca ini: "Wahai pengundi Johor Lama. Akan datang kepada kamu penyokong BN dan PN. Janganlah kamu berasa gerun dan gentar kerana mereka adalah makhluk Allah jua"
"Kalau mereka bagi RM100 maka mintalah RM300," katanya sinis.
Comments