Jika Muhyiddin tidak cukup sokongan, Bajet 2021 tergantung - Aminuddin Harun



Perdana Menteri (PM) kerajaan Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin diingatkan supaya melepaskan jawatan seandainya beliau tidak lagi mempunyai sokongan majoriti dalam kalangan ahli-ahli Parlimen.


Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keengganan Muhyiddin berbuat demikian memungkinkan Belanjawan atau Bajet 2021 yang akan dibentangkan pada bulan Oktober atau November ini akan tergantung kerana gagal mendapat kelulusan Parlimen.


"Kita tidak lupa bahawa Bajet akan dibentangkan dalam sebulan ini. Kalau Bajet (yang disediakan oleh PN) ini tidak akan diterima oleh Ahli Parlimen.


"Bila bajet tidak diterima ini menunjukkan sokongan kepada pemerintah bermasalah dan menunjukkan negara kita lemah. Kalau tidak lulus macam mana kita mahu melaksanakan perbelanjaan kewangan pada tahun hadapan, mahu bayar gaji dan sebagainya.


"Inilah risiko yang mungkin berlaku. Lebih baik Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai PM segera. Ini doa kita. Terus mengharap kepada Allah agar memudahkan urusan ini.


"Kalau di Timur Tengah ada Erdogan, di Asia Tenggara kita berharap sangat ada Datuk Seri Anwar (sebagai pemimpin besar di rantau ini)," katanya dalam Forum "DSAI PM9 Malaysia, Langkah ke hadapan" anjuran Gabungan Reformis Malaysia yang disiarkan secara langsung melalui Facebook dari Kediaman Menteri Besar di Seremban, malam tadi.


Menurut Aminuddin lagi, penyokong Reformasi juga harus bersiap sedia dengan beberapa kemungkinan sekiranya Yang di-Pertuan Agong mendapati Muhyiddin kehilangan sokongan.


Katanya, terdapat dua kemungkinan, sama ada jawatan PM akan diserahkan kepada Anwar atau Agong akan bersetuju untuk membubarkan Parlimen dan Reformis perlu bekerja kuat untuk memenangkan Pakatan Harapan.


"Kita terima bahawa dalam pertemuan PM dengan Agong ada dua kemungkinan. Saya ada berbincang dengan pengamal undang-undang, menyatakan bahawa, pertama, sama ada dia (Muhyiddin) boleh serahkan (jawatan) dengan cara baik, nyatakan tidak ada sokongan dan Agong tentukan siapa yang akan menggantikan. Kedua dia memilih untuk membubarkan Parlimen. Kalau dibubarkan parlimen adakah kita bersedia? Itu persoalan kita.


"Pilihan raya kita harap tidak berlaku dalam suasana Covid 19 yang kritikal dan mungkin datang gelombang ketiga kalau pilihan raya dipanggil untuk menentukan kepimpinan baru. Saya rasa Covid 19 ini akan mendatangkan lebih banyak masalah," katanya lagi.


Walau bagaimanapun, Aminuddin menolak tuduhan pihak lawan kononnya Anwar kemaruk merebut kuasa di tengah-tengah pandemik Covid 19.


Menurutnya, Anwar tidak 'gila kuasa' kerana telah sanggup menunggu selama 22 tahun. Anwar hanya ingin merobah Malaysia menjadi lebih baik ditengah-tengah barah rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang berleluasa.


Majlis malam tadi didahului solat hajat dan bacaan Yassin memohon agar dipermudahkan urusan perlantikan PM ke 9.


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio