
DUN Beting Maro, kawasan di Daerah Pusa yang dianggap antara paling miskin di Malaysia akan dibangunkan sekiranya KEADILAN dan Pakatan Harapan berjaya memerintah Sarawak.
Calon DUN Beting Maro, Abang Zulkifli Abang Engkeh berkata, beliau amat maklum mengenai kesukaran masyarakat nelayan di Kampung Beladin yang sangat susah mendapatkan kelulusan permit pada waktu musim tengkujuh.
Katanya, kira kira 200 nelayan terlibat mengadu tidak dapat mencari pendapatan akibat masalah permit tersebut.
"Mereka tidak dapat ke laut kerana kalau ke laut tanpa permit akan dikompaun dan mereka tidak mampu menanggung jumlah tersebut.
"Inilah krisis yang melanda nelayan di kawasan Beting Maro yang tidak dipedulikan oleh Kerajaan GPS yang gagal. Kerajaan GPS sepatutnya mencari jalan penyelesaian dan saluran pendapatan yang lebih stabil kepada para nelayan melalui langkah membangunkan sektor perikanan dengan membuka kilang pemprosesan hasil laut dan saluran pemasaran yang lebih mantap," katanya.
Tambah Abang Zulkifli, Beting Maro memerlukan pelan tindakan yang mantap demi memulihkan ekonomi dan menjana peluang pekerjaan untuk anak muda dan penduduk tempatan.
Menurut beliau, sekiranya KEADILAN memimpin kerajaan Sarawak, inisiatif yang konkrit akan diambil untuk membangunkan Beting Maro, memperkukuh sektor perikanan dan membela nasib golongan nelayan.
"Industri perikanan di Beting Maro mampu dibangunkan jika diberikan perhatian yang wajar. Skim mikrokredit serta pakej sokongan E-Perniagaan Percuma juga harus disediakan.
"Jika industri perikanan di Indonesia dan negara lain di Asia Tengara mampu dibangunkan dengan baik, tidak ada sebab kenapa kemajuan yang sama tidak dapat dinikmati oleh nelayan di Pusa dan Beting Maro.
"Walau bagaimanapun, rakyat memerlukan pemimpin yang berwibawa, tidak korup, prihatin kepada keluhan akar umbi dan bersedia mencari jalan penyelesaian untuk menaik taraf hidup rakyat," katanya lagi.
Abang Zul berharap rakyat Beting Maro akan bangkit membuat perubahan demi masa depan anak cucu mereka pada Sabtu ini dan mengundi KEADILAN.