
Kerajaan telah menyediakan satu talian kecemasan baharu khusus untuk mangsa penipuan atas talian membuat laporan.
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Ahmad Fahmi Fadzil, talian 997 boleh dihubungi oleh mangsa sebaik sahaja mereka menyedari telah menjadi mangsa scam.
Katanya, wang yang cuba dipindahkan ke 'akaun penerima' akan segera disekat dan diselamatkan.
Beliau berkata demikian dalam ucapan berkenaan literasi digital di UiTM, tengah hari tadi yang menggalakkan orang ramai celik teknologi maklumat.
"Namun yang tak bagusnya, kita tak tahu apa hak kita sebagai pengguna bila data kita kena curi, bila terima scam call.
"Jadi semua itu termasuklah apa kita cuba lakukan. Sekiranya kita atau orang berdekatan dengan kita hadapi masalah scammer, atau anda menjadi mangsa scam maka segera telefon 997, National Scam Response Centre (NSRC).
"Segera call, buat laporan, duit yang anda hilang itu boleh dihentikan dikeluar dari akaun akaun mull itu. Kita telah berjaya setakat ini menghalang duit daripada dibawa keluar. Tetapi tindakan mesti cepat," katanya.
Menurut Fahmi lagi terdapat 14 jenis scam. Beliau mengingatkan agar rakyat tidak memuat turun apa apa aplikasi yang mencurigakan di telefon bimbit mereka.
"Sekiranya anda terima mesej minta download aplikasi, bukan melalui google play, apple store atau platform Huawei rasmi maka jangan tekan.
"Link itu akan mengakibatkan satu kod malware dipasang ke telefon anda, dan itu menyebabkan apa apa yang anda tekan akan (dikesan) termasuk masuk akses kepada akaun bank dan curi duit anda," katanya lagi.
NSRC merupakan inisiatif terbaharu kerajaan untuk mengurangkan penipuan atas talian. Agensi seperti polis, KKD, Bank Negara Malaysia dihimpun dalam NSRC bagi menyekat dan menjejak penipuan atas talian.