Ungkapan pemimpin Umno BN yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa peruntukan dalam Belanjawan 2023 hanya akan dapat dilaksanakan jika BN menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 merupakan satu ugutan.
Menurut Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Setiawangsa, Muhammad Azha Salahudin, kenyataan itu tidak selayaknya dikeluarkan oleh seroang Perdana Menteri (PM) yang memahami pertukaran kerajaan adalah proses lumrah dalam sistem demokrasi dan ketua kerajaan dari parti mana pun akan memastikan belanjawan akan membela rakyat jelata.
"Kenyataan yang dikeluarkan oleh PM Ismail Sabri Yaakob berkenaan pelaksanaan Belanjawan 2023 hanya dapat dilaksanakan sekiranya BN menang PRU15 adalah sangat keterlaluan.
"Belanjawan yang dibentangkan oleh kerajaan setiap tahun perlu merangkumi aspek pembangunan ekonomi negara bagi menjamin kesejahteraan rakyat, dan tidak boleh digunakan sebagai modal politik untuk memancing undi," kecam beliau.
Sebaliknya, kata Azha, pentadbiran PM Ismail seharusnya mengikut acuan demokrasi yang lebih telus dengan mengumumkan terlebih awal bilakah tarikh parlimen akan dibubarkan untuk tidak menggunakan belanjawan sebagai ugutan.
"Desas-desus berkenaan pembubaran parlimen masih menjadi tanda tanya dan kerajaan di bawah pimpinan Ismail Sabri perlu bersikap jujur serta menyatakan tarikh sebenar pembubaran.
"Sekiranya parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, apa guna pembentangan Belanjawan 2023 yang menjanjikan bulan dan bintang tetapi tidak dapat dilaksanakan?
"Jangan jadikan Belanjawan 2023 sebagai manifesto Umno BN untuk memancing undi rakyat," sinisnya.
Semalam, PM Ismail Sabri menegaskan, segala inisiatif dan bantuan kepada rakyat seperti yang dibentangkan dalam belanjawan hanya boleh dilaksanakan sekiranya BN menang dalam PRU15 akan datang.
"Kita kena pastikan BN menang, supaya setiap yang diumumkan dalam Bajet 2023 semalam dapat dilaksanakan. Bajet yang diumumkan semalam, kerajaan telah ada duit, cuma mahu laksanakan sahaja," katanya dipetik.
Comentarios