top of page

'Jika berlaku peralihan kuasa, kerajaan baharu sedia pelan jangka pendek tangani Covid 19'


Pandemik Covid 19 yang masuk tahun kedua tanpa tanda-tanda akan berakhir dan keresahan yang ditunjukkan oleh institusi Raja-raja Melayu tidak mustahil memungkinkan berlakunya peralihan kuasa di Malaysia.


Menurut Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, andainya ditakdirkan peralihan kuasa terjadi maka kerajaan baharu telah menyediakan pelan jangka pendek dan panjang bagi menangani pandemik hingga selesai.


"Takdir kata belaku peralihan kuasa, saya optimis. Kita sudah bersedia dengan penyelesaian jangka pendek.


"Penyelesaian jangka pendek harus tertumpu kepada program vaksinasi yang mengutamakan jumlah rakyat paling ramai divaksinasi dalam tempoh paling pantas.


"Satu-satunya harapan kita menempuh pandemik Covid ini supaya tidak berterusan adalah ikhtiar vaksinasi. Dan dalam keadaan sekarang ia berlaku yang sangat lembab


"Saya balik kawasan saya di Kulim Bandar Baharu, doktor pegawai perubatan daerah bagi tahu di bandar itu sepatutnya 33,000 orang divaksin. Yang daftar 14,000. Yang menerima vaksin belum 5,000 orang. Saya tanya kenapa? Kata doktor, kalau hari ini dijanji menerima 1,000 dos, mereka terima 350. Semalam dijanji 900 yang diterima 250. Inilah realiti di bawah.


"Di atas Pak Menteri sebut dos yang kita tempah. Keupayaan kita 200,000 dos sehari. Diumumkan Selangor dapat 2.5 juta dos. Dijawab oleh Exco Kesihatan yang diterima sebenarnya 600,000 dos sahaja" kata Saifuddin dalam forum maya anjuran Biro Penerangan KEADILAN bertajuk: "Pentas Rakyat: Dua Dekad Menongkah Arus", malam tadi.


Bagi Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu, sekiranya negara memerlukan lockdown lebih ketat maka kerajaan baharu akan melakukannya.


Katanya, had siling hutang akan ditingkatkan supaya negara boleh meminjam lebih banyak dana dari luar dan dalam negara. Hal tersebut, kata Saifuddin, gagal dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional sehingga negara kekurangan wang untuk menutup ekonomi selama beberapa minggu bagi memutuskan terus rantaian Covid.


"Kita kena laksanakan total lockdown, kita akan hadapi masalah kewangan, tetapi kerajaan mesti meminjam. Tidak kira pinjam dalam negeri atau pinjaman luar negeri. Kalau kekangan hutang kepada KDNK menjadi halangan maka buat sidang Parlimen. Menteri Kewangan bentang pindaan itu, kita akan sokong bersama-sama


"Kalau kerajaan milik kita, awal lagi kita buat. Kita juga akan ikhtiarkan pelan jangka pendek dan panjang tanpa segan silu mengambil amalan baik negara lain yang berjaya melandaikan keluk jangkitan Covid ini," katanya.


Mengenai kelemahan strategi melawan Covid, Saifuddin menunding jari kepada kerajaan PN kerana enggan berkongsi data dengan mana-mana pertubuhan selain sesama kerajaan.


Katanya, beliau sendiri yang menganggotai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang akan menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai tempoh darurat, dihalang akses kepada data Covid 19 bagi membuat kajian terhadap syor yang akan dikemukakan.


"Negara luar dari segi perkongsian data itu terbuka. Di negara kita saya baru saja tulis sebagai ahli jawatankuasa dan mahu memberi pandangan (kepada jawatankuasa) berasaskan kepada analisis data. Saya menulis kepada pihak berkuasa yang mengawal data MySejahtera tetapi mendapat jawapan mendukacitakan, sebab akses data itu tidak dibenarkan.


"Sedangkan dalam suasana dunia hadapi pandemik, perkongsian data antara satu negara dan negara, penyelidik dan penyelidik diberikan kerjasama yang menggalakkan, anehnya di negara kita tidak boleh langsung


"Jadi amalan kerajaan tidak mungkin buat silap masih tebal," katanya.


Dalam forum itu, Saifuddin juga menegur sikap Presiden Pas Hj Hadi Awang yang mengeluarkan kenyataan mengingatkan rakyat agar berhati-hati dengan musuh agama selepas Agong mengundang kesemua pimpinan parti politik bertemu Baginda.


Saifuddin mengingatkan perbezaan politik tidak harus dilanjutkan sehingga ke tahap beza akidah dan keimanan kepada Allah, lantas diungkapkan sebagai 'musuh agama'


"Bila berlaku pertemuan pemimpin parti dan Agong. Reaksi PM dan Bersatu itu tenang sahaja. Dikhalayak tidak dipamerkan resah mereka. Perkembangan Umno hampir sunyi. Tetapi gelisah yang tak mampu diselindung datang dari Pas.


"Hari ini kenyataan terbaharu presiden parti itu menyebut 'hati-hati dengan musuh agama'. Sampai ke tahap itu. Kita ni beza politik. Beza politik kalau dijadikan beza akidah dan pertikaikan keimanan itu tidak ke mana.


"Kita baca sejarah Muawiyah dan Ali misalnya, berbeza pendapat tetapi itu hanya politik. Ali tidak pernah kafirkan Muawiyah dan Muawiyah tidak kafirkan Ali.


"Berbeza politik tak pernah menjadi perbezaan akidah. Logik yang dipakai Pas mereka perjuang Islam. Menyokong Pas wajib, menentang Pas ertinya menentang Islam. Dia letak situ


"Sedangkan Pas parti politik. Ada hari buat baik, ada hari buat tak baik. Dia pernah berkawan dengan kita dan DAP. Hari ini berkawan dengan MCA dan itu kita terima tidak menjejaskan akidah mereka," katanya lagi.


Saifuddin berkata, berlawan di pentas politik adalah dengan menawarkan dasar lawan dasar. Tidak boleh dasar dilawan dengan ungkapan 'musuh agama' yang akan memburukkan perpecahan politik dan umat di Malaysia.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page