top of page

'Jika benar reformasi itu perjuangan maka kekal walaupun tanpa jawatan'

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 25
  • 2 min read

ree

Seorang yang menamakan diri pejuang reformasi perlu kekal dalam perjuangan meskipun tidak memegang sebarang jawatan dalam parti.


Hal itu diungkapkan oleh Ketua Biro Media Baharu Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Dzulhilmi Zainol (gambar).


Katanya, pada waktu Kerajaan Madani sedang melaksanakan pelbagai agenda memperkukuhkan kedudukan ekonomi dan reformasi dasar dengan pendekatan lebih realistik dan inklusif, amatlah malang apabila terdapat pemimpin yang memilih untuk menjadi pengulas politik sambilan, yang hanya muncul di ruang maya setelah keluar dari kabinet.


"Kita faham, bukan semua orang mampu bertahan dalam kerajaan. Tetapi janganlah kerana tidak lagi duduk di kerusi Menteri, maka semua perkara yang dulunya disenyapkan kini tiba-tiba menjadi “pembuka mata”.


"Reformasi bukan milik sesiapa dan ia pasti bukan hak eksklusif mereka yang hanya bersuara bila tidak lagi ada kuasa.


"Kita perlu berdiri teguh menyokong usaha kerajaan untuk mengimbangi antara kestabilan ekonomi dan keperluan rakyat. Kita bukanlah kumpulan yang hanya tahu melaungkan idealisme tanpa memahami kekangan dan realiti dasar," katanya dalam kenyataan hari ini.


Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat menyeru kepada anak muda dalam KEADILAN agar tidak terpesong dengan naratif beberapa individu kecewa di dalam parti.


Tegas Dzulhilmi, perjuangan bukanlah untuk mendapatkan kedudukan tetapi yang penting hasil akhir bakal mengubah kehidupan rakyat kepada yang lebih baik.


"Saya menyeru kepada rakan-rakan dan anak muda di seluruh negara, jangan biarkan semangat kita dipesongkan oleh naratif kecewa individu tertentu.


"Perjuangan kita bukan soal siapa duduk di mana, tetapi tentang apa yang kita mahu tegakkan.


"Jika benar reformasi itu perjuangan hidup mati, maka ia sepatutnya kekal hidup walaupun tanpa sebarang jawatan. Jika ia mati hanya kerana anda tidak lagi berada dalam kabinet, mungkin ia bukan perjuangan tapi hanya pentas untuk ego," katanya.


Justeru, Dzulhilmi berharap KEADILAN akan terus bergerak dengan kekuatan kolektif dan tidak akan terperangkap dengan politik dendam atau drama peribadi yang cuba 'disolek' sebagai prinsip.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page