Jentera PRN Kedah dilancar, KEADILAN dalam keadaan terbaik
- Redzuan Shamsudin
- Jun 25, 2023
- 1 min read

Pelancaran jentera pilihanraya KEADILAN Kedah semalam memperlihatkan parti dalam keadaan siap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka akan diadakan pada bulan Ogos ini.
Menurut Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, selepas majlis pelancaran tersebut semua kawasan yang pada ketika ini telah mula menggerakkan jentera akan bekerja di tahap maksimum menuju hari penamaan calon dan berkempen.
Selain itu parti juga, katanya, akan membentangkan arah sokongan terkini dalam PRN yang melibatkan 6 negeri pada mesyuarat yang diadakan di Putrajaya Ahad ini.
"Esok akan dibentangkan tracking terkini sokongan. Tracking ini biasanya dibentangkan dalam mesyuarat bulanan KEADILAN, akan ada beberapa laporan dari pelbagai sumber, tetapi di bawah tajuk laporan trend sokongan yang komprehensif.
"Esok juga akan diberi arahan tugasan bagi negeri yang tidak terlibat pilihanraya. Negeri dan cabang itu akan ditugaskan di mana.
"Selain pengarah pilihanraya negeri, akan ada pimpinan pusat yang diberi tanggungjawab," katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran.

Menurut Saifuddin lagi, KEADILAN akan melancarkan strategi pilihanraya berdasarkan negeri. Setiap negeri, katanya, ada fokus tertentu.
"Tiga negeri yang dikuasai PH objektifnya untuk dipertahankan, strateginya berbeza dengan strategi Kedah yang kami berhasrat untuk menawan.
"Sekali gus itu menandakan KEADILAN dalam tahap terakhir untuk menghadapi pilihanraya," katanya.
Setiausaha Agung KEADILAN paling lama dalam jawatan itu mengakui pada PRN kali ini KEADILAN berada pada tahap paling bersedia berbanding yang lepas.
"Pengalaman saya 14 tahun sebagai setiausaha agung dan ikut membantu saya tengok KEADILAN kali ini berada pada tahap terbaik yang pernah kami sediakan," akuinya.
Comentários