top of page

Jentera PH, GRS Segama diselaras pastikan kemenangan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 11 minutes ago
  • 2 min read
Romansa Lamin bercakap kepada pemberita selepas pertemuan jentera PH bersama kepimpinan GRS Segama di Lahad Datu, Sabah. Turut hadir Ketua Bahagian GRS Segama Rajesh Yusof (dua dari kiri).
Romansa Lamin bercakap kepada pemberita selepas pertemuan jentera PH bersama kepimpinan GRS Segama di Lahad Datu, Sabah. Turut hadir Ketua Bahagian GRS Segama Rajesh Yusof (dua dari kiri).

Jentera Pakatan Harapan dan Gagasan Rakyat Sabah (GRS) DUN Segama diselaras bagi memastikan sokongan padu dari dua gabungan itu untuk memenangkan calon N61 Romansa Lamin.


Sehubungan itu, Romansa melahirkan penghargaan terhadap Ketua Bahagian GRS Segama, Ir Rajesh Yusof atas komitmen yang ditunjukkan dalam membantu gerak kerja kempen PH di DUN terbabit.


Malah beliau berikrar akan memastikan kerjasama politik itu dapat diteruskan selepas pilihanraya demi kestabilan dan pembangunan kawasan Segama.


"Apabila PH dan GRS bertembung dan tidak bekerjasama maka kelebihan dan kemenangan akan berpihak kepada parti lawan


"Atas sebab itu saya amat berterima kasih kepada terutamannya Ketua Bahagian, Rajesh Yusof kerana berjiwa besar, memanggil semua kepimpinan (GRS) dan akar umbi untuk bertemu kami," katanya ketika berucap dalam pertemuan jentera PH bersama kepimpinan dan akar umbi GRS Segama di Lahad Datu baru-baru ini.


Romansa yang juga Ketua Cabang KEADILAN Lahad Datu berkata, pertemuan anjuran GRS itu membolehkan beliau mengenali lebih dekat dengan ketua-ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) selain mengeratkan hubungan antara PH dan GRS.

"Semoga dengan usaha ini, kita mampu untuk memenangkan kerusi di Segama ini dengan membawa perubahan baru untuk Urang Segama," ujarnya.


Sementara itu, Rajesh berkata, kerjasama yang terbentuk antara kedua-dua parti itu mahu dikekal dan diterjemahkan di peringkat DUN Segama.


Beliau turut memberikan komitmen bahawa kepimpinan masyarakat yang telah bekerja selama ini dapat memberikan sokongan kepada calon PH di Segama.


"Saya sudah beri tahu kepada semua ketua kampung dan ketua cawangan dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK), nilai kamu di mata kami, bila mana masuk kampung-kampung kami tunjukkan itu rumah si anu, itu ada pengundi-pengundinya


"[Beritahu] GRS bekerjasama dengan PH memberi kemenangan kepada DUN Segama," kata beliau.


Romansa berdepan pertandingan tujuh penjuru di kerusi N 61 yang mempunyai seramai 29,840 pengundi.


Dalam perkembangan lain, pemerhatian yang dilakukan dalam program ceramah kelompok di Jalan Segama yang dihadiri Romansa mendapat sambutan luar biasa.


"Jelas bahawa rakyat di sini mahukan perubahan dalam pentadbiran negeri.


"Mereka inginkan Sabah yang lebih baik. Sabah yang penuh harapan dan masa depan yang lebih cerah untuk semua," jelas Romansa.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page