
Oleh: Abdullah Zaid
Jentera penerangan KEADILAN tidak boleh lagi bergerak dalam mod bertahan tetapi perlu lebih agresif dalam menyebarkan maklumat.
Ketua Penerangan KEADILAN, Fahmi Fadzil menyeru mod agresif diaktifkan bagi menangkis propaganda Perikatan Nasional (PN) yang cuba mencipta persepsi jahat terhadap Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, penguasaan naratif melalui penjelasan berfakta perlu dikuasai ahli parti bagi memenangi hati pengundi.
"Dari pengalaman saya sendiri, persepsi boleh mengubah corak pengundi untuk menentukan sama ada kita menang mahupun kalah (dalam pilihanraya)," katanya dalam ucapan penggulungan di Konvensyen Penerangan KEADILAN Pusat di Saujana Hotel, Subang Jaya hari ini.
Jelasnya, penguasaan itu penting bagi membantu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pada ketika ini sedang giat mengemudi negara.
Tambahnya, jentera parti dalam usaha penerangan perlulah memahami lima dasar yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan agar maklumat yang disampaikan berkesan.
"Tugas kita (penerangan) membantu Perdana Menteri dengan memahami dan menelaah semua dasar yang diperkenalkan supaya rakyat dapat memahami dasar yang dibawa kerajaan," katanya.
Menteri Komunikasi itu juga menegaskan agar jentera penerangan tidak mensia siakan waktu kerana hanya berbaki dua tahun sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) mengambil tempat.
Dalam pada itu, bagi memantapkan jentera parti, Fahmi memaklumkan pihaknya akan mewujudkan latihan penerangan kepada jentera di setiap negeri bagi menjelaskan dasar-dasar kerajaan.
"Saya lihat ada keperluan (mewujudkan) sekolah penerangan di seluruh negeri bagi menerangkan dasar-dasar kerajaan.
"Ia bagi melatih ahli parti supaya mereka mahir dan petah melawan mereka (pembangkang) yang cuba menganggu Kerajaan Madani," ujarnya lagi.
Comments