JENDELA 1: Infrastruktur digital negara siap 99 peratus - MCMC
- Helmi Mohd Foad

- 1 hour ago
- 2 min read

Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) mencatat kemajuan ketara apabila 99.1 peratus infrastruktur digital di bawah fasa pertama telah berjaya disiapkan, sekali gus menunjukkan usaha berterusan kerajaan merapatkan jurang digital di seluruh negara semakin membuahkan hasil.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan bahawa setakat 31 Disember 2025, sebanyak 1,646 daripada 1,661 menara komunikasi yang disasarkan telah siap dibina, manakala 1,618 menara atau 98.3 peratus daripadanya sudah beroperasi sepenuhnya bagi perkhidmatan 2G dan 4G.
Menurut MCMC, baki pembinaan menara komunikasi dijangka diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh terdekat.
"Keseluruhan pembinaan menara ini dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2026, sekali gus melengkapkan pelaksanaan JENDELA Fasa 1," menurut kenyataan suruhanjaya itu.
Kata MCMC pelaksanaan JENDELA yang bersifat bersasar dan berfasa turut memberi tumpuan kepada tujuh kawasan tumpuan utama, termasuk institusi pengajian tinggi awam (IPTA), kawasan pelancongan, stadium, kawasan acara, hospital, kem tentera serta sepanjang jajaran lebuh raya.
Pendekatan itu membolehkan peluasan liputan Internet dilaksanakan secara lebih cekap, termasuk di kawasan kurang berpenduduk melalui penggunaan teknologi yang sesuai dengan keperluan setempat, katanya.
"Pendekatan berfasa dan bersasar ini memastikan peluasan liputan Internet dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan fit-for-purpose, khususnya di kawasan berpenduduk jarang serta koridor pengangkutan utama," katanya.
Dari segi capaian rakyat, bilangan premis yang diliputi rangkaian Internet meningkat daripada 4.96 juta premis sebelum JENDELA kepada 9.81 juta premis setakat akhir Disember 2025, sekali gus melepasi sasaran sembilan juta premis yang ditetapkan.
Selain itu, kata suruhanjaya itu prestasi perkhidmatan Internet turut menunjukkan peningkatan apabila kelajuan median muat turun jalur lebar mudah alih meningkat kepada 143.70 Mbps, manakala liputan Internet di kawasan berpenduduk naik kepada 99.71 peratus, berbanding 91.8 peratus sebelum pelaksanaan JENDELA.
MCMC berkata pencapaian itu disokong oleh komitmen pengendali rangkaian mudah alih (MNO) melalui pembinaan infrastruktur 4G baharu, penaiktarafan tapak sedia ada serta pelaksanaan perkongsian rangkaian menerusi pendekatan Multi-Operator Core Network (MOCN).
"Setiap MNO telah mengemukakan perancangan penambahbaikan liputan yang dipantau secara berterusan oleh MCMC bagi memastikan kualiti perkhidmatan Internet terus dipertingkat," katanya.
Dalam sektor pendidikan, lebih 34,000 titik akses Wi-Fi telah dipasang di 126 kampus universiti awam, politeknik dan kolej komuniti, dengan tambahan 73,768 titik akses lagi dirancang bagi memastikan liputan menyeluruh, jelas MCMC.
Kemudahan gentian optik turut diperluas ke 73 kem tentera, membolehkan perkhidmatan Fibre to the Home (FTTH) disediakan kepada lebih 59,000 Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), katanya.
"MCMC akan terus memantau pelaksanaan JENDELA bagi memastikan peningkatan liputan dan kualiti perkhidmatan Internet dilaksanakan secara mampan dan berterusan, selari dengan objektif JENDELA Fasa 2," menurut kenyataan itu.









Comments