top of page

Jenazah Dr Ainul Baraah tiba di Pengkalan Chepa, dikebumikan selepas Zuhur

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 day ago
2 min read
Jenazah Dr Ainul Baraah dan Kapten Zainol disolatkan selepas Subuh di Masjid Jamal Addin, Taman Jelita, Miri, 13 September 2026. Foto Ihsan Berita RTM Sarawak
Jenazah Dr Ainul Baraah dan Kapten Zainol disolatkan selepas Subuh di Masjid Jamal Addin, Taman Jelita, Miri, 13 September 2026. Foto Ihsan Berita RTM Sarawak

Jenazah pegawai perubatan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS), Allahyarham Dr Ainul Baraah Kamaruddin tiba di Masjid Al Karomah Mukim Baung Besar di sini pada 11.50 pagi ini untuk disolatkan sebelum dikebumikan selepas solat Zuhur.


Jenazah Allahyarham tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) pada 11.21 pagi selepas diterbangkan dari Miri, Sarawak menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada pukul 8.30 pagi.


Penerbangan itu dilakukan selepas selesai proses forensik di Jabatan Forensik Hospital Miri.


Jenazah kemudian dibawa ke masjid berkenaan untuk solat jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sri Kedeper, Pengkalan Chepa, lapor media tempatan.


Turut mengiringi jenazah ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Azman Yacob dan Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Dr Kasuadi Hussin.


Dalam kenyataan hari ini, Dzulkefly berkata proses forensik dan pengurusan penghantaran pulang kelima-lima jenazah mangsa nahas helikopter FDS di Long Lellang, Baram, Sarawak, telah diselesaikan selepas proses pengecaman identiti dan analisis DNA oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Kimia Malaysia.


“Seluruh keluarga besar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diselubungi rasa sedih dan pilu yang amat mendalam tatkala melalui fasa terakhir tragedi helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang,” katanya.


Nahas pada Selasa lalu mengorbankan kesemua lima individu yang menaiki helikopter BO-105 kendalian Layang-Layang Aerospace selepas pesawat itu terhempas berhampiran hujung landasan STOLport Long Lellang kira-kira 3.40 petang.


Selain Dr Ainul Baraah, mangsa lain ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; penolong pegawai perubatan Alexson Adit Henry, 31; serta dua jururawat, Jessie Paya Jok, 44, dan Debra Moset, 40.


Sementara itu, jenazah Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, juruterbang diterbangkan dari Miri ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) menaiki penerbangan Malaysia Airlines sebelum dibawa untuk dikebumikan di Taman Perkuburan Forest Height, Senawang, Negeri Sembilan.


Jasad mendiang Debra diterbangkan dari Miri ke Kuching sebelum disemadikan di Kampung Semadang, Padawan pada esok.


Jasad mendiang Alexson pula dipindahkan dari Hospital Miri ke rumah mendiang hari ini, sebelum urusan pengebumian dilaksanakan pada 15 September di Anglican Cemetery Lambir, Miri.


Jasad mendiang Jessie turut dipindahkan dari Hospital Miri ke rumah mendiang hari ini dan dijadual dikebumikan pada 14 September di BEM Cemetery Lambir, Miri.


Dzulkefly turut merakamkan penghargaan kepada ATM, PDRM, Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) serta semua agensi yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat sehingga pengurusan jenazah.


Dalam masa sama, beliau berkata KKM akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama JBPM bagi menyokong kelancaran operasi pemindahan perubatan kecemasan (MEDEVAC) selain menyusun semula perkhidmatan FDS bagi memastikan keselamatan, kesiapsiagaan dan penilaian menyeluruh.


“Keprihatinan, kiriman doa yang tidak putus-putus, serta kasih sayang yang dizahirkan oleh rakyat kepada petugas kesihatan kita memberikan suntikan kekuatan yang amat bermakna buat ahli keluarga dan rakan-rakan seperjuangan di KKM dalam mendepani saat yang amat mencabar ini,” katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page