Jemput Trump ke Sidang ASEAN langkah strategik perundingan
- Suara Keadilan

- Oct 9
- 2 min read

Oleh: Ahmad Firdaus Mohd
ULASAN: Februari 2022, Rusia mencetuskan krisis ketenteraan terbesar di Eropah sejak Perang Dunia Kedua dengan menyerang Ukraine.
Tindak balas “Polis Dunia” (Amerika Syarikat) lebih mengejutkan, bukan melalui kekuatan tentera, tetapi melalui satu kemas kini di laman web treasury.gov yang menyekat Rusia daripada akses kepada dolar Amerika. Langkah yang kelihatan kecil itu menggoncang ekonomi dunia. Dalam sekelip mata, Moscow kehilangan saluran pernafasan kewangan antarabangsa.
Kesan sekatan tersebut begitu mendalam. Ekonomi Rusia, yang sebelum ini berada di tangga kesebelas dunia, terus merosot sehingga hari ini. Amerika Syarikat memperlihatkan kuasa sebenar yang dimilikinya, bukan semata-mata dalam bentuk senjata, tetapi dalam keupayaannya mengawal aliran wang dunia.
Setiap transaksi minyak, komoditi dan perdagangan antarabangsa akhirnya bersandarkan kepada sistem kewangan yang dicipta dan dikawal oleh Washington. Inilah kekuatan sebenar Amerika Syarikat, keupayaan untuk melumpuhkan ekonomi sesebuah negara dari jauh tanpa melepaskan sebutir peluru pun.
Realiti pasca-globalisasi
Dunia hari ini beroperasi dalam realiti pasca-globalisasi. Kuasa besar tidak lagi perlu menawan wilayah untuk menundukkan lawan. Cukup dengan mengawal peredaran modal, pasaran dan keyakinan pelabur.
Suka atau tidak, Amerika Syarikat masih menjadi penentu arah ekonomi dunia. Apabila kadar faedahnya dinaikkan, kesannya segera dirasai di seluruh dunia, termasuk di Malaysia. Ringgit melemah, pelabur beralih, dan harga barang meningkat. Begitulah besar pengaruh keputusan dasar dari Washington terhadap ekonomi negara lain.
Dalam landskap antarabangsa yang kini terbahagi kepada tiga kutub besar, Washington, Beijing dan Moscow, pragmatisme menjadi pilihan terbaik. Malaysia tidak boleh berfikir secara ideologikal semata-mata.
Jemput Trump langkah strategik
Menjemput Donald Trump ke Persidangan ASEAN bukan tanda berpihak kepada Amerika, sebaliknya langkah strategik untuk memastikan rantau ini terus relevan di mata semua kuasa besar. ASEAN terbuka kepada semua pihak yang menghormati kedaulatan dan kepentingan serantau.
Trump bukan sekadar tokoh politik kontroversi. Di sebalik gaya komunikasinya yang keras, beliau mewakili arus politik baru di Amerika Syarikat, arus yang menolak globalisasi dan menuntut pulangan yang lebih adil untuk rakyatnya. Dunia di mata Trump ialah gelanggang tawar-menawar kepentingan.
Pendekatan inilah yang perlu difahami oleh ASEAN. Dunia sedang berubah daripada sistem berasaskan prinsip kepada sistem berasaskan kepentingan. Dalam suasana sebegini, keupayaan berunding dengan setiap kuasa besar tanpa mengikat diri kepada mana-mana blok menjadi kemahiran paling penting bagi negara kecil dan sederhana seperti Malaysia.
Malaysia sedar bahawa masa depan rantau ini tidak boleh bergantung kepada satu kuasa semata-mata. ASEAN perlu menjadi pemain aktif yang membentuk persekitaran serantau, bukan sekadar penonton kepada persaingan kuasa besar.
Menjemput Trump ke meja rundingan ASEAN ialah isyarat bahawa Malaysia bersedia memimpin dialog, walaupun berbeza pandangan. Dunia kini lebih menghargai keberanian untuk berunding daripada keberanian untuk bermusuh.









Comments