Jemput Trump ke Sidang ASEAN berdasarkan kaedah “irtikab akhaf adh-dhararain”
- Suara Keadilan

- Oct 10
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Jemputan ke atas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, ke Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur bulan ini perlu dilihat secara strategik dalam konteks hubungan diplomatik dan kepengerusian Malaysia dalam blok serantau.
Pengerusi Bersama Muktamar Masjid Semalaysia untuk al-Aqsa dan Palestin (MM4AP), Datuk Seri Ustaz Ahmad Awang (gambar) berkata, kehadiran Trump adalah berdasarkan kedudukan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN dan keputusan itu adalah wajar, meskipun dianggap terdapat mudarat.
"Kaedah perundangan pelaksanaan sesuatu keadaan itu dipanggil “irtikab akhaf adh-dhararain”, maknanya kita melakukan perkara yang lebih ringan mudaratnya dengan kita menolak tetapi lebih berat mudaratnya.
"Dua-duanya ada mudarat. Maksudnya kalau kita kata tak boleh datang, maka ada kesan dengan negara ASEAN," kata Ahmad kepada Suara Keadilan.
Ujarnya, Malaysia tidak boleh ‘memveto’ keputusan dengan menolak kehadiran Trump yang boleh memberi kesan diplomatik berdepan beberapa sekutu AS di rantau ini seperti Thailand, Singapura dan Filipina yang juga merupakan anggota ASEAN.
"Kamu nak gunakan ‘kuasa veto’? Kamu seorang macam mana? Kamu hanya pengerusi ASEAN," kata beliau menjelaskan pendirian negara ASEAN perlu difahami secara secara strategik, khususnya oleh orang Melayu-Islam di Malaysia.
Menurut beliau, walaupun rakyat Malaysia mempunyai hak untuk membantah, kehadiran Trump membuka peluang kepada Malaysia dan ASEAN untuk menyampaikan mesej secara terus kepada Washington, khususnya berhubung isu kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin.
Katanya, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan pemimpin ASEAN yang berani bercakap di hadapan kuasa-kuasa besar, termasuk negara penyokong Israel untuk menyatakan pendirian tegas, mengecam atau menolak kezaliman rejim Zionis.
"Kalau ikut hati, Perdana Menteri sendiri tak setuju (kehadiran Trump), tapi dia pun tak boleh tolak. Ini keputusan ASEAN secara kolektif. Dalam keadaan seperti ini, kita berhadapan dengan dua mudarat — menolak atau menerima.
"Dalam kaedah Islam, kita pilih yang lebih ringan mudaratnya," katanya lagi
Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia menghormati hak rakyat untuk bersuara dan berhimpun, termasuk mereka yang ingin menunjukkan bantahan terhadap kehadiran Trump, selaras dengan prinsip demokrasi yang diamalkan di negara ini.
"Perdana Menteri tidak akan menghalang rakyat untuk menyatakan pandangan. Itu menunjukkan Malaysia lebih demokratik berbanding negara yang kononnya menjadi ‘bapa demokrasi’.
"Kita ada hak bersuara, dan kerajaan menghormati itu," katanya lagi.









Comments