Jemput Trump atas kapasiti ASEAN, AS kuasa besar utama di Asia Tenggara
- Suara Keadilan
- 5 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan Perpaduan tidak akan tunduk kepada tekanan 'dangkal' untuk membantah dan membatalkan jemputan terhadap Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur bulan depan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam (gambar) berkata, seruan untuk membantah dan membatalkan jemputan itu tidak lebih daripada satu bentuk 'kejahilan terancang' agenda pihak tertentu.
Katanya, bantahan itu mengenepikan tanggungjawab Malaysia sebagai pemimpin ASEAN dan menjejaskan kepentingan ekonomi negara sedangkan jemputan dibuat atas kapasitil sebagai pengerusi ASEAN.
''Mari kita ambil sedikit masa hari ini untuk mengikuti kursus ringkas tentang kewarasan akal, sesuatu yang nampaknya mungkin tidak difahami oleh pembangkang dan jurucakap 'abadi' mereka, Tun Dr Mahathir Mohamad.
''Sebagai pengerusi ASEAN ketika ini, Malaysia telah menjemput Presiden AS (Trump) untuk menghadiri sidang itu.
''Ia bukan perkara luar biasa, dan bukan pula satu misteri diplomatik. AS ialah salah satu pelabur terbesar di Malaysia, rakan dagang utama, dan kuasa besar dunia yang peranannya penting di rantau ASEAN.
''Namun, apa tindakan pembangkang dan tokoh lama mereka? Mereka cuba menekan kerajaan dan Perdana Menteri (PMX) supaya membatalkan jemputan tersebut atas alasan yang kononnya untuk 'membela perjuangan Palestin.
''Bijak ke tindakan itu? Jawapannya ialah langsung tidak. Ia bukan sahaja hipokrit, malah amat tidak bijak,'' tempelak beliau dalam satu kenyataan.
Menurut beliau lagi, ketika Trump mengenakan tarif balas ke atas beberapa negara, seluruh dunia kelihatan terjejas namun Malaysia berjaya merundingkan perjanjian yang menguntungkan berbanding negara lain.
Lokman menyifatkan, keputusan kadar tarif itu membuktikan kepentingan untuk mengekalkan hubungan baik dengan Washington.
''AS pula kerap menyemak semula dasar tarif mereka berdasarkan pertimbangan masa depan. Mana-mana pemimpin yang waras pasti faham pentingnya mengekalkan saluran diplomatik terbuka.
''Mari kita tanya soalan mudah.. nama seorang pemimpin pembangkang yang jika menjadi PM, berani membatalkan jemputan kepada Presiden AS?
''Jawapannya tiada. Mereka hanya berlagak lantang daripada tepi, tetapi apabila berkuasa, akan melakukan perkara yang sama seperti PMX iaitu menyambut Presiden AS datang ke Malaysia,'' jelas beliau lagi.
Lokman yang juga Pengarah Komunikasi UMNO mendakwa, kegagalan pembangkang untuk berhujah secara substansif menyebabkan mereka kembali kepada tabiat lama dengan memainkan sentimen perkauman, agama, dan kini isu Palestin.
''Ini bukan kepimpinan, tetapi manipulasi politik. Malaysia akan terus berpegang kepada prinsip, sambil bertindak bijaksana di pentas dunia. Inilah perbezaan antara kenegarawanan dan gimik politik,'' katanya lagi.