Jemput parti pembangkang lain sertai PH
- Omar Zin
- Aug 25, 2021
- 1 min read

Tiga pemimpin wanita menggesa pucuk pimpinan menjemput parti pembangkang yang lain untuk menyertai Pakatan Harapan (PH).
Dalam satu kenyataan bersama, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan Senator Raj Munni @ Aiman Athirah Sabu berpendirian sedemikian kerana biarpun PH dan parti-parti pembangkang telah berjaya menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon tunggal untuk diangkat sebagai Perdana Menteri ke-9, namun jumlah 105 sokongan yang dimiliki oleh beliau masih tidak mencukupi.
"Harapan perlu mengekalkan dan memperkasakan sokongan yang telah diperolehi daripada parti pembangkang yang lain.
"Sehubungan itu, kami menyarankan supaya Harapan segera membuat jemputan rasmi kepada semua parti-parti Pembangkang yang terdiri daripada Parti Warisan (Warisan), Malaysian United Democratic Alliance (Muda), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) untuk menyertai Harapan.
"Jumlah sokongan 105 Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang yang dibuktikan pada 18 Ogos 2021 tempoh hari perlu dikekalkan dan diperkemaskan lagi dalam bentuk persefahaman yang lebih formal menuju Pilihan Raya Umum yang akan datang," katanya.
Tambah mereka, langkah itu juga amat bertepatan dengan hasrat dan pendirian yang telah dinyatakan oleh PH untuk membina kerjasama dikalangan parti-parti Pembangkang mengikut kerangka ‘Khemah Besar’.
"Kebersamaan ini perlu diikat kemas supaya sokongan padu dan kekuatan angka 105 ini dapat menyakinkan rakyat di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak bahawa Harapan merupakan pilihan paling tepat untuk memimpin Malaysia. Mohon disegerakan," katanya.
Comments