Jemaah Menteri setuju dedah Laporan RCI Tabung Haji
- Suara Keadilan
- 22 hours ago
- 1 min read

Jemaah Menteri hari ini bersetuju untuk menyahklasifikasikan dan mendedahkan kepada umum Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020, selain membentangkannya dalam satu sidang khas Dewan Rakyat dalam masa terdekat.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat selepas Jemaah Menteri menerima taklimat daripada pengurusan tertinggi TH dan memperhalusi kandungan laporan berkenaan.
"Jemaah Menteri hari ini telah diberi taklimat oleh pengurusan tertinggi Tabung Haji dan memperhalusi Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja mengenai TH dari 2014 hingga 2020.
"Jemaah Menteri bersetuju bahawa laporan ini akan diklasifikasikan semula dan didedahkan pada hari ini. Laporan ini juga akan dibentangkan dan dibahaskan di satu sidang khas Dewan Rakyat dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, laporan RCI itu mengandungi 25 syor penambahbaikan.
"Jemaah Menteri mengambil maklum bahawa Laporan ini telah menggariskan 25 syor tindakan penambahbaikan, dan pengurusan tertinggi TH telah berjaya melaksanakan 75 peratus daripada syor tersebut," ujarnya.
Beliau berkata, prestasi semasa TH menunjukkan pemulihan yang positif apabila institusi itu mengumumkan kadar agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025.
Dalam pada itu, Fahmi berkata kerajaan turut memutuskan supaya siasatan lanjut berdasarkan penemuan dalam laporan RCI diteruskan oleh agensi penguatkuasaan.
"Jemaah Menteri turut memutuskan bahawa siasatan penuh oleh badan-badan penguatkuasaan berdasarkan laporan ini akan diteruskan serta-merta dan pihak-pihak terbabit akan dibawa ke muka pengadilan sekiranya wujud sebarang pelanggaran undang-undang," katanya lagi.
Beliau berkata, tindakan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan sebarang salah laku yang dikenal pasti melalui laporan RCI disiasat secara menyeluruh dan diambil tindakan mengikut lunas undang-undang.
