
KEADILAN melancarkan program Jelajah Penerangan KEADILAN Pusat (Johor) 2021 di Cabang Pagoh, semalam.
Pelancaran simbolik gerak gempur penerangan Johor di kawasan Parlimen Tan Sri Muhyiddin Yassin itu disempurnakan oleh Ketua Penernagan KEADILAN Malaysia, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Menurut kenyataan KEADILAN Johor, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu menyampaikan pesanan untuk memperkasakan jentera penerangan KEADILAN menuju Pilihan Raya Umum 15.
"Beliau memberi ucapan berkenaan isu politik semasa dan penghargaan kepada Penerangan KEADILAN Johor yang bertungkus lumus merancang dan membantu Penerangan Pusat menjayakan program berkenaan," kata kenyataan itu.
Turut memberi ucapan adalah Ketua Penerangan KEADILAN Johor Ysahruddin Kusni, Pengerusi MPN KEADILAN Johor Syed Ibrahim Syed Noh dan Ketua Cabang Pagoh, Subramani Chami sebagai pembuka majlis.
Hadir sama dalam program tersebut Ahli Parlimen Sekijang Natrah Ismail, ADUN Semerah Khuzzan Abu Bakar dan ADUN Serom Ir. Dr. Faizul Amri.

Manakala sejurus selepas pelancaran, para pimpinan KEADILAN terus ke Pekan Bukit Pasir menyantuni penduduk tempatan sambil mengedar pelitup muka.
Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin membantu skuad KEADILAN mensanitasi pusat gym disitu bertujuan menyahkuman pandemik Covid-19.
Selain itu, mereka berkunjung ke kaunter bergerak pendaftaran vaksin yang diselia oleh Wanita KEADILAN Johor untuk memudahkan warga tempatan khasnya warga emas yang tidak mahir menggunakan perkhidmatan online MySejahtera.
Program jelajah diakhiri konvoi ke beberapa buah rumah keluarga daif bagi menyampaikan sumbangan barangan dapur.
コメント