Jelajah Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim di setiap kerusi DUN yang dipertandingkan oleh KEADILAN secara tidak langsung memberikan semangat dan keyakinan buat kesemua tujuh calon untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini.
Walaupun jarak perjalanan untuk melawat di kesemua tujuh DUN itu sejauh lebih 500 kilometer, ia tidak menghalang Anwar untuk memberikan sokongan kepada calon KEADILAN.
Pada waktu pagi, Anwar meluangkan masa di DUN Sook dan menaruh kepercayaan kepada calon KEADILAN, Raymond Ahuar untuk memenangi kawasan itu.
"Negeri ini negeri kaya, rakyat tidak sepatutnya hidup dalam kemiskinan.
"Hasil dan khazanah negeri harus sampai kepada yang di bawah, dan ini menunjukkan betapa pentingnya tanggungjawab untuk memilih pemimpin yang baik.
Justeru, saya gesa penduduk Sook untuk undi calon KEADILAN, Raymond Ahuar kerana saya yakin beliau mampu menggalas tanggungjawab dengan baik," katanya.
Anwar kemudian bergerak ke DUN Klias dan memberikan sebab mengapa penduduk kawasan itu perlu mengundi calon KEADILAN, Abdul Rahman Yakub.
"Perjuangan kita bukan untuk mengangkat mana-mana suku atau kaum sebagai ciri utama seorang pemimpin tapi apa yang mustahak adalah integriti.
"Lantik yang Melayu pun ramai juga yang merompak. Justeru, saya gesa warga DUN Klias untuk mengundi Abdul Rahman Yakub atas asas prinsip dan integriti," katanya.
Anwar meneruskan perjalanannya ke DUN Matunggong bagi memberikan sokongan kepada calon KEADILAN, Sazalye Donol Abdullah.
"Sazalye merupakan antara tokoh penting KEADILAN di Sabah. Hasil bumi di Sabah jika diurus dengan baik dan jujur, rakyat akan terima manfaat.
"Namun, setelah puluhan tahun, rata-rata rakyat Sabah, terutamanya di Matunggong, kekal daif. Ini mendukacitakan, namun kita harus bertindak.
"Saya fikir ini masa terbaik bagi kita untuk ubah lanskap politik dan pentadbiran, dan beri kepercayaan kepada calon KEADILAN, Sazalye Donol Abdullah," katanya.
Jelajah Anwar bergerak ke DUN Tempasuk untuk memberikan sokongan kepada calon KEADILAN, Mustapha Sakmud.
"Saya datang sini bukan semata-mata untuk memberikan sokongan kepada Mustapha.
"Kita tahu pendirian dan sikap dia. Beliau seorang yang bersikap adil dan dia tahu dia kena jaga orang Kristian, orang KDM tapi apa yang penting dia mesti jaga semua rakyat yang diwakili di Tempasuk," katanya.
Jelajah Anwar diteruskan di DUN Tamparuli untuk memberikan sokongan kepada calon KEADILAN, Alijus Sipil.
"Rakyat ada pilihan dan kita tentukan yang terbaik untuk rakyat. Alijus adalah wakil kita, kalau kita percaya dia mewakili kepentingan rakyat kita pilih dia.
"Kalau kita percaya dia nak jadi wakil rakyat sebab nak dapat balak jangan pilih dia.
"Keputusan harus bijak selama ini, kita marahkan ketua menteri lama perdana menteri lama, tapi yang pilih ini kita, yang tentukan siapa ketua menteri dan siapa kerajaan.
"Ini masa pilihan raya, kuasa di tangan rakyat," katanya.
Anwar tiba di Kota Kinabalu di sebelah malam dan memberikan sokongan penuh kepada Christina Liew selaku calon DUN Api-Api.
"Kalau kita mahu orang negeri Sabah yang perintah, orang negeri yang bagaimana? Orang negeri yang ada integriti, prinsip dan ada nilai.
"Oleh yang demikian, saya nak tegaskan supaya kita pilih calon Api-Api, Christina Liew," katanya.
Anwar mengakhiri jelajahnya di DUN Inanam, dengan memberikan sokongan kepada calon KEADILAN, Peto Galim.
"Inanam ini kubu kuat KEADILAN, jadi saya ingatkan kepada calon dan seluruh jentera untuk bekerja keras pertahankan kerusi ini.
"Saya percaya dengan semangat yang dibawa Peto Galim ini membolehkan saingan di DUN ini akan memihak kepada kita," katanya.
Comments