Jejantas Melaka Sentral: PH persoal kos tender penyelenggaraan RM2 juta


KEADILAN Melaka mempersoalkan kos penyelenggaraan jejantas di Melaka Sentral yang didakwa mencecah RM2.075 juta, selepas kerja menaik taraf struktur berkenaan sebelum ini menelan kos hampir RM8 juta.
Ketua Penerangan KEADILAN Melaka, Eddiarman Mohd Yunos berkata, isu berkenaan kembali menjadi perhatian selepas Pakatan Harapan (PH) Melaka yang diketuai Timbalan Pengerusinya, Khoo Poay Tiong, mendedahkan tawaran tender komprehensif bagi kerja penyelenggaraan dan pembersihan jejantas terbabit.
Menurut Eddiarman, persoalan mengenai kos naik taraf jejantas itu pernah dibangkitkan pada 2025 berikutan kosnya hampir RM8 juta.
"Dulu pada tahun 2025 pernah dipersoalkan tentang kos pembinaan hampir RM8 juta sedangkan jejantas ini sudah pun mempunyai struktur binaan yang kuat dan tidak perlu diruntuhkan, hanya dinaik taraf sahaja," katanya dalam muat naik di media sosial.
Beliau berkata, pihak pembangkang dan rakyat kini mempersoalkan kewajaran kos penyelenggaraan yang tinggi bagi struktur yang baru sahaja dinaik taraf dengan kos yang tinggi.
Selain itu, katanya, PH Melaka turut mempersoalkan kecekapan Kerajaan Negeri Melaka dalam menangani aduan berkaitan bangunan Melaka Sentral yang berada di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan.
"Satu lagi, isu di dalam bangunan Melaka Sentral," katanya.
Antara isu yang dibangkitkan, menurut Eddiarman, ialah masalah tanah mendap pada struktur bangunan yang didakwa masih belum diselesaikan dengan baik dan berpotensi mengundang bahaya kepada pengguna.

Beliau turut membangkitkan isu sistem penghawa dingin yang didakwa tidak konsisten, selain kemerosotan jualan dalam kalangan penjaja akibat kurang tarikan kepada pengunjung.
"Isu kemerosotan jualan dalam kalangan penjaja akibat kurang tarikan untuk pengunjung datang ke Melaka Sentral masih tidak diselesaikan
"Terbaharu isu parking untuk e-hailing mengambil dan menurunkan penumpang tidak disediakan dan penyelenggaraan intrastruktur kemudahan awam yang tidak diselenggara dengan betul menjadi masalah kepada pengguna," ujarnya.
Katanya, isu berkenaan perlu diberi perhatian sewajarnya bagi memastikan kemudahan utama berkenaan berada dalam keadaan selamat, selesa dan berfungsi dengan baik untuk pengguna serta peniaga.




Comments