JBMKKS teliti ekosistem baharu kesihatan negara - Menteri Kesihatan
- Suara Keadilan

- Jun 30
- 2 min read

Kerajaan MADANI terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia, termasuk usaha memperkukuh sektor kesihatan negara agar lebih mampan dan berdaya tahan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, antara langkah yang sedang diteliti ialah mewujudkan ekosistem kesihatan baharu bagi menangani isu inflasi perubatan dan peningkatan kos penjagaan kesihatan.
"Usaha ini diterajui Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) yang disertai Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Kewangan (MOF) serta pelbagai agensi lain termasuk penyedia sektor kesihatan swasta, syarikat insurans dan takaful, persatuan berkaitan kesihatan dan doktor serta ahli akademik.
"Mesyuarat telah diadakan dan beberapa kumpulan kerja juga telah diwujudkan untuk mengkaji isu berkaitan dan merumuskan pendekatan terbaik," katanya dipetik.
Terdahulu, Dr Dzulkefly menyaksikan simbolik penyerahan Projek Hospital Pasir Gudang (HPG) oleh Pengarah Pembinaan Pasukan Projek Khas 1 JKR, Ir Suzzana Punari kepada Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Suriani Ahmad.
HPG yang dibangunkan dengan kos keseluruhan RM500 juta merupakan hospital awam ketiga di Johor Bahru dan dijangka mula beroperasi secara berfasa pada 1 Ogos ini.
Apabila beroperasi sepenuhnya pada Julai tahun depan, ia akan membantu mengurangkan kesesakan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI).
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata langkah-langkah yang sedang dilaksana kerajaan membuktikan kesungguhan untuk memperkukuh ekosistem penjagaan kesihatan negara sejajar dengan pendekatan penjagaan kesihatan berasaskan nilai (value-based healthcare).
Pada Selasa lalu, Kementerian Kewangan dan KKM mengumumkan penubuhan JBMKKS.
Jawatankuasa yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Dr Dzulkefly itu akan menyelaras pendekatan menyeluruh secara kolaboratif dengan sokongan Majlis Perundingan yang menyediakan input serta nasihat teknikal bagi menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan.









Comments