Jawatankuasa Pendidikan PH kemuka cadangan reformasi pendidikan kepada PM


Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) hari ini mengemukakan cadangan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mereformasi sektor pendidikan negara.


Kata mereka, tempoh pandemik Covid 19 ini merupakan waktu paling sesuai untuk merombak sistem pendidikan negara agar lebih relevan menghadapi perubahan teknologi masa hadapan.


Jawatankuasa Pendidikan PH menggariskan reformasi tersebut kepada dua perkara iaitu, Reformasi Pendidikan Dasar dan Reformasi Pengajian Tinggi


"Kerajaan perlu merangka satu master plan pendidikan merangkumi pendidikan dasar, pendidikan tinggi dan pendidikan TVET, serta perancangan jangkamasa panjang yang strategik, mapan dan telus untuk pendidikan selepas pandemik berakhir. Pernyataan Polisi ‘Pendidikan di kala wabak COVID-19: Solusi buat Malaysia’ oleh mantan Menteri Pendidikan boleh dijadikan dasar dan panduan untuk tujuan berkenaan.


"Disarankan penubuhan ‘Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan’ (MTPK) yang akan dianggotai oleh para pemegang taruh, terutamanya wakil-wakil dari NUTP, UNICEF, WHO, KKM, pakar-pakar Pendidikan, Institusi Pengajian Tinggi (IPT), badan-badan pengkaji, NGO Pendidikan, Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang, terutamanya mereka yang pernah bergelumang dalam sektor pendidikan untuk menangani masalah pendidikan pasca-pandemik yang amat serius melalui penghasilan pelan yang disebutkan serta memantau pelaksanaannya.


"Kerajaan juga hendaklah menggunakan secara maksimum kepandaian buatan (artificial intelligence) dan data raya (big data) untuk membantu menangani kemelut pendidikan ini," kata mereka.


Jawatakuasa Pendidikan juga menegur pengurusan berkaitan penutupan dan pembukaan sekolah sewaktu Covid-19 yang sepatutnya diturunkan (decentralized) kepada peringkat sekolah dan PPD dengan persetujuan ibu bapa.


Kata mereka, sebarang keputusan yang dibuat juga hendaklah berdasarkan sains dan data dengan dipandu garis panduan oleh WHO. KPM perlu mempunyai pakar rujukan utama berhubung sains dan data dengan melantik pakar-pakar dari hospital-hospital Universiti Awam sebagai rujukan utama.


"Kebenaran untuk Ahli Parlimen dan ADUN tanpa kira pihak kerajaan atau pembangkang untuk terlibat dengan pihak sekolah dan institusi pendidikan, Pejabat Pendidikan Daerah, dan jabatan Pendidikan Negeri di kawasan masing-masing untuk membangunkan pendidikan

serta infrastruktur dan bukan untuk tujuan politik.


"Jawatankuasa Pendidikan juga perlu melaksanakan Laporan Jawatankuasa Dasar Pendidikan Negara 2019 terutamanya berkaitan Model Pendidikan Baharu (New Education Model). Ianya perlu dibawa ke kabinet untuk diluluskan dan dilaksanakan selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025)," kata mereka.


PH juga menyarankan agar dihidupkan semula Jawatankuasa Dataraya (Big Data Committee) di KPM agar segala keputusan, dasar dan Pendidikan dapat dirumuskan dan dipandu oleh data, sains, deep analytics dan kepandaian buatan


Juga pemberian insentif kepada para guru di dalam bentuk one-off ataupun pengecualian cukai di atas usaha dan wang ringgit yang mereka gunakan sepanjang PdPR.


‘Program Sarapan Pagi’ percuma kepada setiap murid di sekolah dicadangkan dibuat apabila sekolah dibuka semula. Program itu akan dapat membantu keluarga yang semakin ramai tergolong dalam B50, dan juga dapat membantu para pengusaha kantin sekolah dan pembekal makanan basah ke kantin-kantin sekolah.


Manakala bagi sektor pengajian tinggi pula Jawatankuasa Pendidikan PH mencadangkan agar ditubuhkan kembali Majlis Pendidikan Tinggi Negara (MPTN) yang termaktub dalam Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 (Akta 546).


"Demi menjamin kewibawaan dan kredibiliti institusi pengajian tinggi, keanggotaan Lembaga Pengurusan (LPU) Universiti Awam juga hendaklah bebas dari lantikan politik dan dihadkan hanya kepada dua penggal sahaja bagi setiap lantikan.


"Imej ahli akademi Malaysia yang tercalar kerana isu penerbitan di jurnal pemangsa (predator Journals) dan juga isu plagiarisme perlu ditangani secara sistemik. ‘Jawatankuasa Integriti Penyelidikan Kebangsaan’ yang pernah dicadangkan oleh Majlis Sains Negara (2017) perlu diwujudkan segera.


"Akta 605 perlu dipinda untuk menjamin kebebasan akademik dan menjaga integriti para akademik sepertimana yang pernah dibawakan pada tahun 2019, ianya hanya perlukan kelulusan dari Perdana Menteri tanpa perlu dibawa ke parlimen," kata mereka.


Jawatankuasa juga menyarankan supaya usaha yang telah dilakukan oleh Jawatankuasa Pemansuhan AUKU untuk memansuhkan Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (Akta 30) dan digantikan dengan undang-undang yang lebih komprehensif bersekali dengan akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) dilaksanakan


PH berharap kerajaan meneruskan usaha penubuhan Kesatuan Pelajar di semua IPT (Institut Pengajian Tinggi).


Jawatankuasa Pendidikan PH tegas memohon agar cadangan-cadangan yang diberikan dipertimbang oleh PM termasuk Menteri Kanan Pendidikan dan Menteri Pengajian Tinggi bagi menghentikan segala krisis pendidikan yang sedang berlaku sekarang.


Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik, Nik Nazmi Nik Ahmad (Ahli Parlimen Setiawangsa, KEADILAN), Datuk Dr Hasan Bahrom (Ahli Parlimen Tampin, AMANAH), Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Kulai, DAP), Natrah Ismail (Ahli Parlimen Sekijang, KEADILAN), Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam, DAP) dan Rusnah Aluai (Ahli Parlimen Tangga Batu, KEADILAN).


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
19198
292
20980
Total
1,979,698
20,711
1,721,710

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
349,788
5,246
372,363
Total
225,423,690
4,643,538
200,274,221

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER