Jawatankuasa pemantau SPRM perlu kuasa pengarahan, pengawasan, jamin ketelusan
- Suara Keadilan

- 15 hours ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar (gambar) mengemukakan cadangan balas agar satu jawatankuasa pengawasan bebas ditubuhkan dengan kuasa pengarahan dan pemantauan sebenar terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan melapor terus kepada Parlimen demi menjamin ketelusan dan akauntabiliti kepada rakyat.
Katanya, siasatan khas oleh mana-mana jawatankuasa perlu dipengerusikan individu yang diyakini bebas dan berintegriti, selain melibatkan wakil daripada pelbagai agensi bagi memastikan proses berjalan telus sekali gus mengelakkan sebarang persepsi negatif.
"Kita kena sedar beza jawatankuasa yang saya sebut itu (seminggu lalu) memang melapor kepada Kabinet.. itu baik. Tapi ianya merupakan prosiding rahsia (yang) tak terbuka untuk semua.
"Siapa yang pantau penyiasat? Kerajaan umum tubuh jawatankuasa (contohnya) diketuai oleh Peguam Negara untuk siasat isu pembelian saham. Ini langkah yang baik tapi tidak cukup kalau skopnya terlalu sempit dan siasatan mesti serius serta menyeluruh.
"Tambahan pula panel penasihat yang memantau SPRM sekarang memang ada, tapi tidak ada kuasa menghukum atau mengambil tindakan tegas.
"(Oleh itu) cadangan balas kita menubuhkan jawatankuasa yang ada kuasa pengarahan dan pengawasan sebenar. (Ini) kerana lapor kepada Parlimen itu ibarat lapor kepada rakyat," katanya dalam satu siaran video.
Pada 9 Februari lalu, Nurul Izzah menggesa Kerajaan MADANI menubuhkan Jawatankuasa Pengawasan Bebas yang melapor terus kepada Parlimen bagi memperkukuh akauntabiliti dan memulihkan keyakinan rakyat terhadap kerangka antirasuah negara.
Beliau mengakui, usaha membanteras rasuah di bawah pentadbiran MADANI lebih aktif berbanding era sebelumnya, namun menegaskan bahawa aktiviti semata mata tidak semestinya menjamin akauntabiliti.
Ujarnya, kebimbangan rakyat terhadap integriti institusi antirasuah semakin ketara sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Nurul Izzah berkata, tekad untuk membersihkan sistem tanpa mengira pangkat atau status mesti disertai proses sewajarnya, ketelusan, dan pendakwaan berterusan untuk mendapatkan kepercayaan rakyat.









Comments