Jawatan PM had dua penggal satu langkah berani
- Suara Keadilan
- 14 hours ago
- 1 min read

Oleh: Noraini Nordin
ULASAN: Keputusan kerajaan untuk membentangkan rang undang-undang di Parlimen tahun ini bagi menghadkan Perdana Menteri hanya boleh memegang jawatan itu selama 10 tahun atau dua penggal adalah satu langkah yang berani.
Ia juga langkah yang harus dipuji kerana menggambarkan Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan seorang yang gila kuasa.

Ketika ramai pihak berpendapat beliau harus memegang jawatan Perdana Menteri lebih daripada satu penggal, tetapi Anwar ternampak lebih cenderung hadnya memegang kuasa tidak harus melebihi dua penggal.
Setelah rang undang-undang itu diluluskan nanti, bermakna semua Perdana Menteri selepas ini mempunyai had masa memegang jawatan tersebut.
Tiada lagi cerita Perdana Menteri berpenggal-penggal memegang kuasa atau sehingga 22 tahun lamanya.
Langkah menghadkan tempoh memegang kuasa ini adalah sangat baik demi menjamin seseorang Perdana Menteri itu tidak berbuat sesuka hati semasa memegang kuasa.
Elak salah guna kuasa
Ini kerana jika seseorang Perdana Menteri itu terlajak dalam menggunakan kuasanya sehingga berlaku salah guna kuasa, selepas dua penggal memegang jawatan itu, sudah tentu mereka dengan mudah dibawa kepada siasatan dan seterusnya pendakwaan di mahkamah.
Hakikatnya, melalui tempoh masa yang ditetapkan itu, mana-mana Perdana Menteri yang memegang jawatan itu selepas ini akan berusaha memberi khidmat yang sebaik mungkin dan mengelakkan diri masing-masing daripada melakukan apa-apa kesalahan.
Akhirnya, melalui rang undang-undang itu, semua Perdana Menteri akan berkhidmat dengan sebaik mungkin, tidak terbabit rasuah serta salah guna kuasa.
Masa depan negara akan lebih terpelihara dan generasi masa depan dengan sendirinya akan lebih terjamin kehidupan mereka.





