top of page

Jawab fitnah: Dedahkan segera laporan RCI Tabung Haji - Dr Mujahid

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 17 hours ago
  • 2 min read

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menggesa kerajaan mendedahkan kepada umum Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji (TH) bagi menamatkan polemik dan dakwaan yang menurutnya telah dipolitikkan sejak pelaksanaan penstrukturan semula institusi itu pada 2018 hingga 2020.


Mujahid berkata, beliau telah beberapa kali membangkitkan perkara itu di Dewan Negara sejak 2023, namun dimaklumkan bahawa laporan tersebut masih tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).


"Saya sejak seawal 2023 telah beberapa kali bertanya di Dewan Negara bilakah Laporan Suruhan Diraja (RCI) akan didedahkan kepada awam. Jawapan yang saya dapat daripada menteri bertanggungjawab dalam Kerajaan Perpaduan ialah, ia masih di bawah OSA (Akta Dokumen Rahsia)."


"Saya menuntut di Dewan Negara yang mulia pendedahan RCI ini untuk mengelakkan isu ini menjadi tujuan politik memandangkan isu TH ini berligar sekitar memutarkan-belitkan isu pemulihan TH dari 2018-2020," katanya.


Menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu, ketika beliau menerajui portfolio berkenaan, kerajaan telah melaksanakan penstrukturan semula TH yang ketika itu berdepan defisit kira-kira RM10 bilion akibat jurang antara aset dan liabiliti.


Mujahid mendakwa usaha pemulihan itu kemudiannya dijadikan modal politik oleh Pas dan Umno yang ketika itu menjadi pembangkang, termasuk menuduh beliau menjual aset Tabung Haji.


"Inisiatif pemulihan ini menjadi kesempatan parti politik tertentu khususnya Pas dan Umno sebagai pembangkang waktu itu menyerang saya di bawah tema 'aset TH dijual oleh saya dan Lim Guan Eng'," ujarnya


Beliau berkata, pelbagai dakwaan tersebut telah dijawab melalui debat awam dan proses mahkamah, termasuk tindakan saman fitnah yang menurutnya memihak kepada beliau.


"Reputasi saya dipertaruhkan melalui edaran fitnah di media sosial sebagai orang yang bertanggungjawab 'jual aset TH kepada bukan Islam, menteri yang merosakkan TH dll tohmahan' disebalik kemenangan saya di mahkamah dan tulisan saya yang telah disiarkan dalam media sosial mahupun portal berita perdana. Sehingga hari ini fitnah terhadap TH memburukkan PH dan diri saya digunakan dalam kempen2 PRN termasuk yang terkini di Johor dan sekarang di Negeri Sembilan," katanya.


Jelas Mujahid, beliau telah memberi keterangan kepada panel RCI sebagai saksi ketika siasatan dijalankan serta mengemukakan dokumen berkaitan bagi menjelaskan rasional penstrukturan semula TH.


Beliau berkata, laporan RCI itu perlu didedahkan supaya rakyat mengetahui fakta sebenar mengenai keadaan Tabung Haji antara tahun 2014 hingga 2020, termasuk pihak yang bertanggungjawab terhadap kemerosotan institusi itu dan usaha yang dilakukan untuk memulihkannya.


Katanya, sekarang masa yang sesuai untuk mendedahkan siapa sebenarnya yang menjadi dalang kepada keruntuhan TH dan siapa sebenarnya yang berusaha menyelamatkan TH.


RCI TH dimulakan pada zaman Tan Sri Mahyudin Yassin setelah diasak oleh Pas yang menjadi kerajaan ketika itu.


"Saya sendiri tidak sabar untuk melihat laporan tersebut supaya rakyat didedahkan apa sebenarnya yang berlaku pada TH dari tahun 2014-2020 dan siapa yang telah bertanggungjawab merosakkan TH dan apa peranan saya untuk memulihkan kembali TH dari 2018-2020," katanya.


Sehubungan itu, Mujahid menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menyegerakan pendedahan laporan RCI berkenaan.


"Wahai PMX segeralah dedahkan laporan RCI TH," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page