Jatuhkan PM: Jangan ulangi sejarah, rakyat jadi mangsa - Karen Kasturi
- Suara Keadilan

- Jul 19
- 2 min read

Tindakan pembangkang mendesak agar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan, terbaharu melibatkan parti parti India merupakan hal yang tidak bertanggungjawab.
Menurut Exco Wanita KEADILAN Pusat, J Karen Kasturi (gambar), tuntutan termasuk Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) baru baru ini mencerminkan kegagalan memahami prinsip demokrasi berparlimen serta pentingnya kestabilan politik dalam tempoh pemulihan pasca-pandemik.
Katanya, amat tidak masuk akal seorang PM harus meletakkan jawatan hanya kerana pembangkang tidak berpuas hati dengan reformasi yang dijalankan.
Katanya, kerajaan bukan menumpukan kepada satu aspek pentadbiran tetapi perlu memperhitungkan semua dasar secara keseluruhan.
"Kestabilan adalah asas utama bagi melaksanakan pembaharuan struktur dan institusi negara. Banyak inisiatif penting telah pun dimulakan, termasuk pemerkasaan tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan, pengukuhan sistem perolehan, penambahbaikan penyampaian bantuan kepada rakyat, serta pelaksanaan pelan tindakan reformasi institusi kehakiman dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas Kasturi, parti India juga tidak perlu memainkan isu ketiadaan wakil masyarakat itu sebagai Menteri dalam kabinet kononnya Kerajaan Madani mengabaikan kaum berkenaan.
Sebaliknya, kata beliau, Kerajaan telah melantik Gobind Singh Deo yang berwibawa sebagai Menteri penuh.
"Dalam semangat kepimpinan MADANI, setiap Menteri memikul tanggungjawab menjaga kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama, atau jantina. Malaysia MADANI bukan tentang simbol perwakilan kaum semata-mata, tetapi tentang membina sebuah negara yang inklusif dan adil, berasaskan merit, integriti, dan tanggungjawab bersama.
"Adalah tidak wajar untuk terus terperangkap dalam cara fikir lapuk bahawa hanya Menteri India boleh membela masyarakat India, atau hanya Menteri wanita menjaga isu wanita. Ini bukan budaya reformasi yang sebenar.
"Saya ingin bertanya kepada MIPP — selain mendesak Perdana Menteri berundur, apakah cadangan konkrit yang pernah dibentangkan untuk membela masyarakat India? Rakyat hari ini tidak mahukan slogan kosong, tetapi reformasi dasar yang sebenar," katanya.
Timbalan Bendahari Wanita KEADILAN itu berkata, pembangkang hanya sekadar mengambil kesempatan meniru trend politik menjatuhkan Perdana Menteri seperti Tun Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri dalam tempoh hanya beberapa tahun sebagai satu keutamaan.
Hal itu, katanya adalah strategi kuasa jangka pendek yang berisiko besar. Mereka mungkin menganggap ini satu ‘momentum politik’, tetapi hakikatnya, tindakan ini mengorbankan kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.
"Kita perlu berfikir kenapa pembangkang mahu mengulangi corak kegagalan yang sama? Ingat, setiap kali kerajaan bertukar dalam masa yang singkat, dasar tergendala, keyakinan pelabur tergugat, dan rakyat terus menjadi mangsa ketidaktentuan politik.
"Sudah tiba masanya kita hentikan politik menjatuhkan demi kuasa, dan beri ruang kepada kestabilan negara yang lebih matang dan perjuangkan reformasi dasar khususnya untuk kaum minoriti dan rakyat marhean untuk maju bersama ke depan," katanya lagi.









Comments