'Jatuhkan kerajaan yang adil hukumnya haram' - Syeikh Wazir


Sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan yang memerintah secara adil merupakan perbuatan yang haram, tegas Penasihat Kesatuan Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki (gambar).
Beliau berkata, usaha pihak tertentu untuk menggugat kepimpinan yang menerajui pentadbiran negeri dan negara ketika ini dilihat mempunyai persamaan dengan kemunculan golongan Khawarij.
Katanya, golongan Khawarij pernah menjatuhkan pemerintahan Saidina Uthman R.A sebelum terbabit dalam peperangan dengan Saidina Ali R.A selama bertahun-tahun lamanya.
"Jatuhkan kerajaan yang adil hukumnya haram. Sekarang masih ada khawarij-khawarij yang berfikir siang dan malam untuk menjatuhkan dua orang tokoh yang memerintah negeri (dan) negara dengan cara adil.
"Nauzubillah, nauzubillah, nauzubillah. Haram! haram! haram!" katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sebarkan Salam dan Kota Bharu Berselawat yang berlangsung di Dataran Muhammadi, di sini, pada 31 Oktober lalu.
Program tersebut turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan.




Comments