Oleh: Helmi Mohd Foad
Usaha pembangkang mahu menukar kerajaan melalui pintu belakang sudah gagal melainkan mereka menggunakan sidang Dewan Rakyat pada 28 Februari depan untuk membuat usul Undi Percaya atau tidak percaya terhadap Perdana Menteri.
Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, sebarang langkah untuk menukar kerajaan secara 'tebuk atap' buat masa ini boleh dianggap suatu perkara 'bodoh' kerana ia pasti tidak berjaya.
"Habis kuat ketika sidang Parlimen buat undi percaya atau tidak percaya. Perdana Menteri adalah seorang yang terbuka, nak buat undi silakan.
"Bila dapat kuasa dia sendiri buat inisiatif buat undi percaya dan dapat sokongan 148 Ahli Parlimen tetapi Dr Mahathir pujuk Syed Saddiq (Ahli Parlimen Muar) tarik sokongan tetapi lima Ahli Parlimen (PN) masuk (beri sokongan kepada PM), katanya ada lapan lagi (yang akan masuk)," katanya dalam program bual bicara Persepsi: Jalan Liku Seribu di saluran YouTube Amir Hijaz Fan pada 3 Januari lalu.
Lokman berkata, wakil rakyat tidak mempunyai halangan untuk memberikan sokongan kepada undi tidak percaya kerana ia dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan tetapi dianggap melanggar peraturan parti jika memberikan akujanji untuk menyokong Perdana Menteri lain.
Jelasnya gerakan untuk menjatuhkan Perdana Menteri dengan mencuri ahli parlimen Barisan Nasional (BN) atau mana-mana wakil rakyat sehingga mencukupkan jumlah sama ada 112 atau 115 sokongan majoriti juga tidak akan mampu membentuk kerajaan baharu.
"Dia mungkin buat gerakan jatuhkan PM tapi hendak angkat Perdana Menteri baharu apa syaratnya? Boleh turunkan tetapi hendak jadikan PM boleh ke?
"Pertama kerana Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah pernah bertitah bahawa dalam pentadbirannya (tempoh menjadi Agong) ada empat PM, harap Anwar yang terakhir, jadi kalau tukar kerajaan takkan Tuanku nak terbalik apa yang baginda titahkan?" katanya.
Jelas beliau, Yang di-Pertuan Agong adalah seorang yang teliti dan sering kali merujuk kepada Majlis Raja-Raja kerana tidak mahu dilihat membuat keputusan sendiri dan pasti akan mengelakkan sebarang langkah yang boleh membuat rakyat bangkit menentang.
Katanya sekarang telah ada Akta Anti Lompat Parti selain semua wakil rakyat BN telah menandatangani aku janji memberikan mandat kepada ketua-ketua parti untuk membuat keputusan.
"Akujanji adalah mereka tidak pernah memberikan sebarang aku janji (SD) kepada mana-mana pihak. Setiap calon memberi mandat kepada ketua parti untuk berunding dan buat keputusan siapa akan diangkat menjadi PM," katanya.
Tambahnya, setiap calon BN membuat akujanji memberikan mandat kepada ketua parti untuk memilih dengan parti mana untuk bergabung membentuk kerajaan.
"Dalam erti kata lain kalau langgar (akujanji), Setiausaha Agung BN hanya perlu hantar notis kepada Speaker Dewan Rakyat memaklumkan kerusi itu kosong dan dapat RM100 juta daripada setiap seorang," ujarnya.
Comments