JAS berjaya halang aktiviti pencemaran di Klang
- Redzuan Shamsudin
- Dec 11, 2020
- 2 min read

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor bersama Majlis Perbandaran Klang (MPK) berjaya menghentikan operasi bengkel yang disyaki mencuci tong-tong terpakai secara haram di Jalan Telok Gong, Pelabuhan Klang, Selangor.
Pencemaran yang masuk ke dalam longkang dan seterusnya mengalir ke sungai dikuatiri boleh menyebabkan pencemaran sumber air mentah.
Menurut Pengarah JAS Negeri Selangor, Nor Aziah Jaafar, aktiviti di premis tersebut didapati menjadi punca kepada pembentukan buih berwarna putih di dalam parit di sekitar kawasan perumahan Taman Ubudiah.
"Semasa serbuan yang dijalankan oleh pihak JAS Selangor dan MPK pada 10.00 pagi, kawasan lantai dan longkang premis didapati masih
basah walaupun premis tidak menjalankan sebarang operasi.

"Seorang pekerja warga asing telah berjaya melarikan diri sebaik sahaja pihak berkuasa memasuki premis. Siasatan mendapati sebuah kawasan berbumbung anggaran 90 kaki persegi telah dijadikan tempat mencuci tong-tong terpakai. Air cucian termasuk sisa buangan terjadual telah dialirkan secara haram ke dalam parit yang terletak di belakang premis tanpa sebarang proses pengolahan.
"Siasatan lanjut mendapati premis berkenaan memperolehi tong-tong terpakai daripada kawasan industri di sekitar Daerah Klang, Selangor. Tong-tong yang telah bersih kemudiannya dijual semula kepada kilang-kilang seperti kilang pembuatan bahan kimia untuk tujuan isian semula (refill).
"Dua sampel sisa buangan terjadual yang terdapat dalam tong-tong terpakai telah diambil sebagai bahan bukti dan kawasan pencucian turut dikepung dengan pita amaran bagi mengelakkan pencerobohan bahan bukti di premis," katanya dalam satu kenyataan.
Kata Nor Aziah, pemilik premis tersebut telah menyalahi Jadual Pertama, PeraturanPeraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 yang mana tong-tong terpakai merupakan buangan terjadual dengan kod deskripsi SW 409 dan aktiviti kitar semula ini hendaklah memperolehi lesen daripada JAS.
Kertas Siasatan telah dibuka untuk pendakwaan di mahkamah bagi kesalahan-kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974
seperti berikut:
Seksyen 34A iaitu gagal mengemukakan laporan mengenai kesan kepada alam sekeliling akibat aktiviti yang ditetapkan;
Seksyen 34B iaitu menempatkan buangan terjadual di premis tanpa mendapat apa-apa kelulusan daripada Ketua Pengarah;
Seksyen 18(1) iaitu menjalankan aktiviti di premis yang ditetapkan tanpa mendapat apa-apa lesen daripada Ketua Pengarah; dan
Seksyen 19(a) iaitu menjalankan aktiviti di premis yang ditetapkan tanpa mendapat apa-apa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah.
Menurutnya lagi, Peralatan yang digunakan dalam proses cucian turut dikenakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 sehingga ke satu tarikh yang akan ditentukan.
Beliau mengalu-alukan sebarang maklumat dari orang awam terhadap aktiviti pencemaran. Aduan boleh dilaporkan di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau email ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.
Comentarios