JANS Keningau hentikan pemotongan bekalan air tanpa ihsan
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Pertubuhan Kebudayaan dan Kebajikan Murut Malaysia (PKKMM) menggesa Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Cawangan Keningau mengkaji semula sistem pemotongan meter dan menghentikan tindakan pemotongan bekalan air secara tanpa notis yang sewajarnya.
Presidennya, Raymond Ahuar berkata tindakan berkenaan perlu mengambil kira kesusahan penduduk khususnya keluarga miskin dan golongan B40 di kawasan pedalaman.
"Air adalah sumber kehidupan. Tanpa air, rakyat tidak boleh makan, minum, mandi dan terus kehidupan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, PKKMM menggesa JANS Keningau menghentikan pemotongan sewenang-wenangnya, dan memastikan notis pemotongan diserahkan terus kepada penama berserta perakuan penerimaan.
"Jangan main tinggal (notis) di pagar dan terus potong. Beri masa cukup kepada keluarga kampung untuk merancang (bayar tunggakan)," ujarnya.
Raymond juga meminta JANS memberi perlindungan kepada keluarga miskin dan B40 di pedalaman dengan memastikan bekalan air alternatif mencukupi sebelum pemotongan dilakukan.

"Jangan sampai kanak-kanak, warga emas dan OKU di kampung-kampung sekitar Keningau kehausan kerana tunggakan RM50-RM100," tegur beliau.
Selain itu, PKKMM mencadangkan sistem kaunter dan pembayaran JANS Cawangan Keningau ditambah baik termasuk memanjangkan waktu operasi serta mempermudah kaedah pembayaran.
Katanya, penduduk dari Tenom, Nabawan dan Sook terpaksa turun ke bandar, beratur panjang dan mengambil cuti semata-mata untuk membayar bil air.
PKKMM juga menggesa penyambungan semula bekalan air dilakukan dalam tempoh 24 jam selepas bayaran dibuat di Kaunter Keningau, bukannya sehingga 72 jam.
Dalam pada itu, Raymond merayu kepada Ketua Menteri Sabah dan Perdana Menteri supaya campur tangan bagi menangani isu bekalan air di Keningau serta kawasan pedalaman.
"Kami merayu Ketua Menteri Sabah dan Perdana Menteri PMX untuk ambil perhatian serius isu di Keningau dan seluruh pedalaman," katanya.
PKKMM turut mencadangkan pelaksanaan dasar “Air Asas Percuma” dengan kerajaan negeri melalui JANS dan Kerajaan Persekutuan memperuntukkan bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu sebulan kepada setiap isi rumah B40 bagi tujuan makan, minum dan memasak.




Comments