top of page

Jangkitan Covid 19 meningkat, isu kartel daging, tiba masa PM Muhyiddin letak jawatan



Setelah 10 bulan memerintah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang disertai BN sebagai salah satu komponennya kelihatan berprestasi lebih buruk berbanding mantan kerajaan Pakatan Harapan (PH).


Dalam tempoh setahun pemerintahan, kerajaan PH mampu memperkenalkan skim i-Suri, Skim Peduli Sihat, menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan serta banyak lagi pembaharuan, malangnya kerajaan PN dalam setahun ini hanya membebankan rakyat dengan masalah lonjakan jangkitan Covid 19, isu kartel daging, menambah siri cabutan judi dan menamatkan diskaun 20% tambang komuter.


Bagi Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Zahir Hassan, huru hara pentadbiran PN menggambarkan kerajaan 90% Melayu itu tidak berupaya memerintah negara serta Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin ketua kerajaan yang paling buruk prestasinya sepanjang sejarah.


"Tiada arah tuju (pemerintahan) ke mana Malaysia akan dibawa. Tiada agenda dan kerangka jelas dirangka bersama. Masing-masing hanya sibuk menguatkan parti sendiri. Berebut kawasan yang sama. Sedangkan rakyat menderita.


"Isu kartel daging, cabutan judi bertambah, kes Covid 19 meningkat, diskaun 20% KTM Komuter ditamatkan dan pelbagai isu rakyat lain.


"Kesemua ini tidak langsung dipandang serius oleh Jemaah Menteri," kata Zahir dalam satu kenyatan.


Menurutnya Isu kartel daging sepatutnya ditangani dengan cara yang meyakinkan rakyat. Isu berkenaan tentunya melibatkan individu, syarikat serta agensi berkaitan.


Kata Zahir, siasatan terperinci perlu dijalankan segera, bukannya menutup isu dengan menghukum satu syarikat kecil sahaja.


"Saya juga ingin menggesa KTM memberikan semula diskaun XTRA 20 kepada pengguna komuter. Ia dianggarkan boleh memberi penjimatan sehingga RM176 sebulan. Ekonomi masih belum pulih sepenuhnya. Jangan terus-menerus bebankan rakyat.


"Justeru, bagi saya Malaysia perlu segera diselamatkan. Ekonomi perlu dipacu dan politik harus dipulihkan," ujarnya.


Untuk segera mengakhiri kemelut politik dan huru-hara pentadbiran itu, Zahir menyarankan agar PM Muhyiddin bertindak meletakkan jawatan.


Katanya, menyelematkan negara dengan 30 juta rakyat Malaysia lebih utama daripada kedudukan seorang PM yang lemah dan tiada skil mentadbir.


"Jalan keluar paling baik adalah Tan Sri Muhyiddin meletakkan jawatan dan memberi laluan untuk proses peralihan pucuk kepimpinan negara.


"Dalam hal ini kita meletakkan kepercayaan penuh kepada kebijaksanaan dan wewenang Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong untuk menentukan pengganti beliau," katanya lagi.


Semalam dalam sidang media di Kuala Lumpur, Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan beliau telah menghantar warkah kepada Agong berhubung jumlah majoriti mencukupi yang diperolehinya untuk menggantikan Muhyiddin sebagai PM.


Agong yang baru menyelesaikan kuarantin pulang dari luar negara diharap dapat membuat keputusan segera berhubung soal peralihan kuasa pucuk kepimpinan.


Namun bagi mempercepatkan hal itu, banyak pihak berpendapat Muhyiddin harus berkorban demi negara tercinta dengan meletakkan jawatan sebagai PM terlebih dahulu.





0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page