
Peningatan kes jangkitan harian Covid 19 di Sarawak sehingga melebihi 400 kes sehari amat membimbangkan.
Ketua Komunikasi KEADILAN Negeri Sarawak, Jame Stephen dalam satu kenyataan, menggesa agar Kerajaan Negeri mengambil tindakan pantas bagi memastikan pesakit yang kritikal dapat mengakses rawatan perubatan yang diperlukan.
Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (Sarawak) dan pihak berkuasa negeri perlu bertindak segera menambah bilangan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital utama Sarawak dalam usaha menangani peningkatan pesakit yang mendadak.
"Kerajaan Negeri Sarawak harus memastikan bekalan ventilator, oksigen, rawatan dadah untuk Covid-19 mencukupi juga pakar rawatan rapi perlu disediakan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
"Dengan jangkitan Covid yang kini meningkat pada kadar yang membimbangkan, Kerajaan Negeri dan Persekutuan sepatutnya membuat rancangan harian bagaimana mereka boleh meningkatkan jumlah katil ICU dan kapasiti bekalan oksigen di Sarawak.
"Kita juga mesti mengamalkan langkah-langkah baru dengan segera, seperti melonjakan jumlah suntikan vaksin dan lonjakan ujian di kawasan kluster bagi membendung kadar jangkitan dalam negeri," katanya dalam satu kenyataan.
Stephen juga menggesa pihak berkuasa menunjukkan rekod harian secara rasmi dan dalam talian mengenai jumlah suntikan vaksin yang telah dilaksanakan.
Hal itu, katanya, akan memberi harapan kepada rakyat Sarawak dan menunjukkan bahawa pelaksanaan strategik untuk keluar dari pandemik Covid sudah dimulai bagi mengakhiri situasi pandemik
"Saya menyeru Kerajaan Negeri menggandakan usaha agar semua rakyat Sarawak divaksin secepat mungkin, khususnya penduduk luar bandar yang tinggal jauh dari hospital.
"Ketika ini pendaftaran untuk vaksinasi melalui MySejahtera adalah rendah kerana kekurangan liputan WiFi yang stabil dan akses internet sebagai penghalang mendaftar kerana tidak semua orang di kawasan luar bandar mempunyai telefon pintar mudah alih," katanya.
Bagi operasi pemberian vaksin kepada penghuni rumah panjang, Stephen mensyorkan agar Kerajaan Negeri mengerahkan pasukan vaksinasi tempatan untuk memberi vaksin secara sistematik kepada penduduk di sana.
Menurut beliau, sangat sukar untuk golongan tua atau uzur meninggalkan kediaman mereka bagi mendapatkan suntikan vaksin di pusat-pusat vaksinasi yang terletak berpuluh-puluh kilometer jauhnya dalam keadaan hubungan darat yang buruk.
"Selain itu, pasukan MySalam juga perlu dikerahkan untuk membantu keluarga B40 Sarawak di kawasan yang mengalami lockdown akibat Covid-19 untuk memberi peruntukan kepada mereka yang berpendapatan RM700 dalam tempoh kuarantin.
"Pada pemerhatian saya, beribu-ribu pesakit B40 yang miskin dan keluarga-keluarga B40 di seluruh Sarawak tidak menyedari akan peruntukan ini.
"Bagi mereka yang sedar dan layak, mereka sering dan perlu membuat perjalanan ke hospital daerah tempatan untuk menyiapkan kertas kerja dan ini melibatkan kos perjalanan tambahan yang mereka tidak mampu tanggung," katanya lagi.
Menurut Stephen, Kerajaan Negeri mempunyai maklumat rumah panjang dan kampung mana yang berada di dalam lockdown namun amat dikesalkan kerana mereka tidak menghantar pasukan MySalam untuk membantu golongan miskin mengemukakan permohonan.
댓글