top of page

Jangan ulang kerajaan 'tebuk atap', ingat ketidakstabilan Langkah Sheraton

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Tindakan untuk mengulang pembentukan kerajaan 'tebuk atap' sebagaimana pada 2020 lalu wajar ditentang oleh semua pihak, terutama rakyat yang mengundi untuk kestabilan politik pada pilihanraya lalu.


Bagi Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, Faezuddin Puad (gambar), budaya politik tebuk atap tidak wajar diterima kerana mencabul mandat rakyat serta menjejaskan kepercayaan terhadap sistem demokrasi negara.


"Rakyat keluar mengundi untuk memilih kerajaan melalui peti undi, bukan untuk melihat mandat mereka diubah melalui percaturan politik di belakang tabir


"Apabila mandat rakyat diketepikan, kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi dan ahli politik akan merosot dengan teruk," katanya dalam kenyataan.


Menurut beliau, sejarah Langkah Sheraton pada 2020 perlu dijadikan pengajaran kerana ia menyaksikan kerajaan yang dipilih rakyat tumbang tanpa melalui pilihanraya, sekali gus mencetuskan ketidakstabilan politik dan kegawatan ekonomi negara.


"Mandat PRU-14 yang diberikan rakyat kepada PH 1.0 tumbang tanpa melalui pilihanraya, lalu mencetuskan ketidakstabilan politik, pertukaran kerajaan dan pertukaran banyak Perdana Menteri dalam satu penggal.


"Akhirnya, tumpuan terhadap usaha memperbaiki ekonomi dan kebajikan rakyat terganggu," katanya.


Beliau turut menegaskan bahawa mandat yang diberikan rakyat dalam pilihan raya negeri 2023 kepada Pakatan Harapan dan Barisan Nasional tidak wajar dikhianati dengan memasukkan pula pembangkang Perikatanhn Nasional sebagai sebahagian kerajaan.


"Mandat yang jelas ini mesti dihormati oleh BN, bukan boleh diubah sesuka hati melalui rundingan kuasa atau jajaran baharu selepas pilihanraya," katanya.


Menurut Faezuddin, rakyat kini semakin letih dengan permainan politik yang hanya menumpukan perebutan kuasa, khususnya ketika mereka berdepan cabaran kos sara hidup.


"Ketika rakyat berdepan kos sara hidup kesan daripada krisis global, pemimpin politik sepatutnya menumpukan usaha menyelesaikan masalah rakyat, bukan mencetuskan krisis politik yang tidak perlu," katanya.


Beliau menegaskan, sebarang usaha menukar kerajaan perlu dikembalikan kepada rakyat melalui proses demokrasi yang sah melalui pilihanraya akan datang.


"Jangan ulang budaya politik yang mencacatkan demokrasi dengan budaya ‘tebuk atap’. Kerajaan yang dipilih melalui peti undi mesti dihormati, kerana mandat rakyat bukan milik orang politik untuk diubah sesuka hati," tegasnya.


Untuk rekod, Kerajaan Negeri Sembilan kini dipimpin sepenuhnya oleh PH dan dititah oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan semalam untuk terus memerintah.


Pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun hanya boleh diganti secara Undi Tidak Percaya pada Sidang DUN terdekat, ataupun Yang di-Pertuan Besar bersetuju MB baharu mengangkat sumpah.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page