Jangan ubah isu rasuah jadi drama derhaka - Saifuddin bidas Asyraf


Kenyataan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mendakwa Pakatan Harapan (PH) mempertikaikan kuasa pengampunan Agong disifatkan sekadar cubaan menutupi isu rasuah dan kepincangan integriti dalam Umno yang sedang diperkata umum.
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN berkata, PH tidak pernah menafikan kuasa pengampunan diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan seperti digambarkan Asyraf.
Beliau menegaskan, menghormati kuasa perlembagaan Yang di-Pertuan Agong tidak bermakna parti politik atau rakyat hilang hak untuk menyatakan pendirian terhadap rasuah, salah guna kuasa, integriti serta keputusan hukuman yang telah dibuat oleh mahkamah.
"Kenyataan Dr Asyraf Wajdi bahawa PH kononnya mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong adalah tafsiran politik tersasar dan sengaja mengaburkan isu sebenar.
"Jangan ubah persoalan tentang rasuah menjadi drama kononnya derhaka kepada Raja. Itu dua perkara yang berbeza.
"Institusi Raja mesti terus dihormati, manakala rasuah tetap wajib ditentang. Tidak ada kompromi antara kedua-duanya," kata Saifuddin Shafi Muhammad menerusi kenyataan pada Rabu
Terdahulu, Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung Umno mempersoalkan kenyataan Majlis Sekretariat PH semalam yang menegaskan mana-mana individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau salah guna kuasa, khususnya membabitkan kes berprofil tinggi, perlu menjalani sepenuhnya hukuman yang ditetapkan mahkamah.
Menurut Asyraf kenyataan tersebut bukan sahaja mempersoal kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong, malah mendahului pertimbangan Lembaga Pengampunan.
Sementara itu Saifuddin memberi amaran kepada Umno supaya tidak terus menggunakan institusi Raja sebagai benteng pertahanan demi kepentingan naratif politik mereka atau apabila berdepan situasi terdesak.
Menyentuh isu yang kian meruncing di Negeri Sembilan berkenaan dakwaan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim yang dipaksa menandatangani Proklamasi pemecatan Yang di-Pertuan Besar, beliau mencabar supaya Umno tampil menjawab kontroversi berkenaan.
"Sungguh ironis apabila Umno menuduh PH meremehkan institusi Raja-Raja, sedangkan di Negeri Sembilan, mereka sendiri terpalit dengan isu serius berhubung keabsahan proses, kuasa, dan kedudukan institusi berkenaan.
"PH tidak perlu diajar tentang rasa hormat kepada institusi Diraja. Rakyat mahukan konsistensi: kita menjunjung Perlembagaan dalam memelihara institusi Raja, dan kita mempertahankan kedaulatan undang-undang dalam membanteras rasuah. Jangan campuraduk kedua-dua isu ini demi meraih persepsi politik murahan," tambahnya.




Comments