'Jangan tunggang agama demi raih undi' - Mahfuz
- Helmi Mohd Foad

- 47 minutes ago
- 2 min read

Tindakan Pas menggunakan dalil agama untuk mengikat pilihan politik rakyat terus dibidas seorang bekas pemimpin kanan parti itu apabila hal itu dianggap cuba membina gambaran bahawa sokongan kepada parti tertentu mempunyai kaitan langsung dengan kewajipan agama.
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata beliau bersetuju umat Islam perlu mengambil berat soal kepimpinan, amanah dan tanggungjawab dalam negara, namun menolak penggunaan ayat al-Quran dan hadis bagi mewujudkan persepsi hanya satu aliran politik atau parti tertentu mewakili kehendak Islam.
Merujuk tulisan Presiden Pas, Hj Abdul Hadi Awang bertajuk “Wajib Keluar Mengundi”, Mahfuz berkata pendekatan menggunakan hujah agama dalam menentukan pilihan politik boleh membawa kepada kekeliruan dalam masyarakat.
"Saya tidak bersetuju apabila dalil-dalil al-Quran dan hadis digunakan untuk membina persepsi bahawa hanya satu aliran politik atau satu parti sahaja mewakili kehendak Islam," katanya dalam kenyataan.
Mahfuz yang pernah memegang pelbagai jawatan dalam Pas sebelum ini berkata, Islam mengajar umatnya memilih pemimpin berdasarkan sifat adil, amanah, berintegriti dan berkeupayaan, bukannya mengangkat mana-mana parti politik sebagai pemegang monopoli agama.
"Tiada satu pun ayat al-Quran atau hadis yang menamakan mana-mana parti politik moden sebagai satu-satunya wadah yang wajib disokong," katanya.
"Inilah bentuk penunggangan agama yang sering berlaku setiap kali menjelang pilihanraya."
Mahfuz turut memberi amaran bahawa mencampurkan perbezaan pandangan politik dengan soal agama boleh menyebabkan masyarakat saling menghukum hanya kerana berbeza sokongan politik.
"Pendekatan seperti ini sangat berbahaya kerana ia mencampuradukkan ijtihad politik dengan akidah sehingga masyarakat mudah menghukum sesama Islam hanya kerana berbeza parti," ujarnya.
Beliau turut mempersoalkan perubahan pendirian politik Pas yang menurutnya berlaku dalam beberapa kerjasama politik terdahulu.
"Rakyat berhak bertanya, mengapa Pas pernah memusuhi dan bekerjasama dengan UMNO, kemudian memutuskan hubungan? Kini menyeru ahli Pas mengundi UMNO?" katanya.
Beliau turut mempersoalkan hubungan Pas dengan Bersatu yang pernah menjadi rakan kerjasama politik sebelum berlaku pertelingkahan terbuka antara kedua-dua pihak.
"Jika agama dijadikan ukuran, maka konsistensi terhadap prinsip juga wajib dinilai."
Mahfuz menegaskan perbezaan pilihan politik tidak sepatutnya dijadikan ukuran terhadap tahap iman atau ketakwaan seseorang.
Beliau berkata rakyat dalam sistem demokrasi berperlembagaan berhak membuat keputusan berdasarkan pertimbangan agama, integriti, kecekapan, kestabilan, perpaduan dan kepentingan negara.
"Berpolitik dengan ilmu, bukan dengan ketakutan; berhujah dengan fakta, bukan dengan menghukum dan memilih berdasarkan rekod serta kemampuan," katanya lagi.



Comments