top of page

Jangan terikat kuasa besar, negara membangun perlu keupayaan sendiri

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 3 min read
DS Anwar menyampaikan syarahan umum bertajuk “Power Shift: Strategic Choices for Malaysia and Turkiye”
DS Anwar menyampaikan syarahan umum bertajuk “Power Shift: Strategic Choices for Malaysia and Turkiye”

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru negara-negara membangun menyedari bahawa masa depan mereka tidak semestinya terikat kepada telunjuk kuasa besar seperti Amerika Syarikat atau China, sebaliknya bergantung kepada keupayaan sendiri untuk membentuk pakatan ekonomi baharu yang saling memberi manfaat.


Perdana Menteri berkata negara-negara tersebut perlu menyokong dan memperkukuh kerjasama melalui pakatan baharu seperti BRICS selain jaringan kerjasama dunia membangun termasuk ASEAN dan angggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang menjunjung prinsip perdagangan bebas dan adil selaras dengan tatanan antarabangsa berasaskan peraturan.


"...ia adalah pendirian strategik untuk terbabit secara agresif dan aktif demi manfaat negara dan rantau kita, dengan membina hubungan kukuh dengan kedua-dua Amerika Syarikat dan China.


"Pada masa yang sama memahami dan menerima hakikat bahawa rantau kita, khususnya Asia Tenggara, mempunyai potensi yang amat besar untuk bekerjasama secara berkesan dalam perdagangan, pelaburan dan semua bidang berkaitan," katanya ketika menyampaikan syarahan umum bertajuk “Power Shift: Strategic Choices for Malaysia and Turkiye” di Ankara sempena lawatan rasmi tiga hari beliau ke Turkiye bermula Selasa.


Ucapan beliau turut disiarkan secara langsung melalui media sosialnya.


Perdana Menteri memberikan penekanan bahawa sebagai kuasa pertengahan, negara-negara ekonomi baharu perlu memperluas horizon dan membina potensi sendiri.


"Ini bukan masa untuk berdiri terpisah, sebaliknya bekerja bersama, termasuk antara rakyat Malaysia dan Turkiye," ujar beliau.


Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menjelaskan tentang kepentingan usaha membuka pasaran baharu sebagai langkah memperkukuh daya tahan ekonomi negara dalam menghadapi ketidaktentuan global.


Dalam hal ini beliau menjelaskan, kedudukan Malaysia seperti mana Turkiye dalam konteks serantau dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), kedua-duanya kekal menyokong Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai asas kepada sistem pelbagai hala yang berkesan.


Bagaimanapun, jelas beliau, Malaysia bersedia menyertai inisiatif baharu yang mampu memperkukuh jaringan perdagangan serta kerjasama ekonomi.


"Sebab itulah kami menyertai inisiatif baharu yang dapat meluaskan hubungan dalam penjajaran perdagangan baharu seperti BRICS, dan apa-apa bentuk pengukuhan rangkaian negara dunia ketiga," katanya.


Menyentuh persaingan kuasa besar antara Amerika Syarikat dan China, Anwar berkata negara-negara di Asia Tenggara dan Asia perlu bersikap realistik dan bijak dalam mengemudi hubungan tersebut.


"Kita sedar Amerika Syarikat kekal sebagai pemain utama dari segi pelaburan dan perdagangan, manakala China pula muncul sebagai jiran yang semakin penting. Oleh itu, kita mesti terus berinteraksi dan mengekalkan hubungan yang baik secara ekonomi dan keselamatan, tanpa menutup mata terhadap perkembangan dan realiti di rantau ini," katanya.


Dalam ucapan beliau Anwar turut mengkritik hipokrasi dan percanggahan antara kenyataan dan tindakan sesetengah kuasa besar khususnya dalam isu kemanusiaan seperti di Gaza dan Venezuela.


Beliau menegaskan dunia hari ini memerlukan suara hati nurani serta pendirian moral yang konsisten, bukan sekadar laungan prinsip tanpa tindakan di lapangan.


Terdahulu Anwar menerima kunjungan hormat Setiausaha Industri Pertahanan Turkiye Prof Dr Haluk Gorgun yang turut bertindak sebagai menteri pengiring.


Beliau berkata pertemuan itu membuka ruang perbincangan yang konstruktif bagi memperkukuh kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Türkiye, khususnya dalam aspek pembangunan keupayaan, pemindahan teknologi serta latihan dan pembangunan modal insan sebagai teras kelestarian industri pertahanan negara.


"Kami turut menyentuh kerjasama sedia ada yang telah terjalin menerusi syarikat-syarikat pertahanan kedua-dua negara, dengan penegasan bahawa usaha ini wajar diperkasakan ke tahap yang lebih strategik dan menyeluruh, berlandaskan prinsip saling melengkapi dan manfaat bersama, selari dengan kepentingan keselamatan serantau serta kedaulatan negara," kata Anwar dalam hantaran di media sosial.


Turut hadir pada kunjungan hormat itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani; serta Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal.


Delegasi Turkiye pula dianggotai Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace Industries (TAI) merangkap Pengerusi Majlis Perniagaan Turkiye-Malaysia Dr Mehmet Demiroglu, Pengurus Besar ASELSAN Ahmet Akyol dan Pengurus Besar Defence Technologies Engineering and Trade Inc (STM) Ozgur Guleruz.


Anwar berada di Turkiye bagi lawatan rasmi selama tiga hari atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan dalam rangka memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page