Pemimpin Umno diberi amaran agar tidak melibatkan KEADILAN atau Pakatan Harapan (PH) di dalam sengketa tidak berkesudahan mereka dan Bersatu.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Datuk Abdul Halim Hussain (gambar, kanan sekali) berkata, kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Datuk Mohd Puad Zarkashi dan mana-mana pihak lain yang mengaitkan KEADILAN dalam masalah politik parti itu adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab.
Katanya, KEADILAN tidak terlibat pada peringkat awal sengketa yang meruntuhkan kerajaan Umno - Bersatu di Melaka dan juga tidak terlibat dengan sebarang masalah kerajaan BN di Johor.
"Jangan sembereno melontarkan kata dusta. Semua rakyat Melaka tahu sebab-sebab kejatuhan Kerajaan Melaka di bawah mantan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali. Umno perlu menjawab dan memperjelaskan kepada rakyat isu-isu pasir, misalnya.
"Datuk Seri Idris Haron hanya diterima masuk ke dalam KEADILAN sejurus selepas DUN Melaka dibubarkan kerana tindakan beliau telah membongkarkan skandal pasir di Melaka.
"PH juga bersepakat berkempen di bawah pimpinan Saudara Adly Zahari. Justeru itu, tidak timbul sama sekali isu jawatan Ketua Menteri akan ditawarkan kepada Datuk Idris Haron sekiranya PH memenangi PRU ini," katanya dalam sidang media, pagi tadi.
Menurut Halim yang juga Exco Kerajaan Pulau Pinang, Datuk Puad sebagai pemimpin Umno Johor sebaliknya lebih baik menumpukan usaha untuk memastikan agar kerajaan Johor kekal dan tidak tumbang hanya kerana golongan tertentu yang mahu 'menekan butang' menarik sokongan.
Belau juga mengingatkan Umno agar belajar dari pengalaman PH yang pernah dikhianati Bersatu daripada membabitkan PH atau KEADILAN ke dalam masalah survival Umno.
"Kepimpinan Umno perlu mencermin diri sebelum menarik KEADILAN dan PH di dalam persengketaan mereka.
"Sudah terang lagi bersuluh parti Melayu ini tidak mengambil iktibar dari penglibatan Bersatu dalam PH. Umno yang mahu membentuk kerajaan bersama Bersatu di Johor. Oleh itu janganlah tarik kami dalam persengketaan ini," katanya lagi.
Commentaires