Jangan Seleweng, Zalim: Ingat Akhirat, Tiada Jalan Kembali


Oleh: Dr Bam Al-Haj
ULASAN: Saya terkena minyak panas di Kuching pada 20 Ogos lalu. Sudah 17 hari.
Puncanya saya nak goreng ubi kayu berempah. Kuali agak kecil. Tiba-tiba api menyambar minyak. Saya bergegas ambil lapik kaki, basahkan sedikit dan tekup pada kuali. Malangnya kuali itu terjatuh dan minyak di kuali itu menyimbah kaki kiri saya.
Dalam sekelip mata, rasa panas itu menyambar. Kulit terbakar.
Pedihnya bukan kepalang. Sakitnya bukan sekadar pada permukaan kulit, tetapi seolah-olah menembusi ke dalam tubuh.
Sakitnya amat perit. Pedih. Ada ketika terasa seperti tidak tertanggung. Pengalaman yang paling menginsafkan ialah ketika menjalani "dressing" dan selepasnya. Luka yang sedang cuba sembuh disentuh, dibersihkan dan dirawat. Setiap sentuhan terasa begitu menyakitkan.
Tujuh jam selepas makan "pain killer" baharu berkurangan. Akhirnya saya hanya mampu berzikir. Beristighfar. Mahu ke bilik air susah. Nak pijak pun terasa sakit. Saya hanya boleh berbaring dengan meletakkan kaki ke atas berlapikkan bantal baru merehatkannya daripada tekanan.
Di rumah saya berkerusi roda elektrik untuk bergerak. Terpaksa guna "crutches" untuk ke bilik air. Pergerakan sangat terhad. Solat duduk di kerusi. Doktor pakar kata luka "2nd degree deep" ambil masa 100 hari baru betul-betul sembuh.
Bagaimana dengan api neraka?
Setiap kali kaki sakit berdenyut-denyut saya terfikir: "Kalau minyak panas yang sedikit sahaja sudah membuatkan aku begitu kesakitan, bagaimana pula dengan api neraka?"

Al-Quran berkali-kali mengingatkan manusia tentang neraka. Bukan sekali. Bukan dua kali. Tetapi berulang-ulang. Allah SWT menggambarkan azab neraka sebagai sesuatu yang amat dahsyat. Tubuh kita akan dibakar. Apabila kulit itu hangus, ia diganti dengan kulit yang lain agar kita akan terus merasakan azab.
Allah berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang kufur kepada ayat-ayat Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Setiap kali kulit mereka masak, Kami gantikan dengan kulit yang lain supaya mereka terus merasai azab.” — Surah al-Nisa’, 4:56
Ayat ini amat menggerunkan. Kulit yang terbakar diganti. Kemudian terbakar lagi. Diganti lagi. Di dunia, apabila terkena minyak panas, kita akan segera mencari air. Kita mencari ubat. Kita pergi ke hospital. Meminta doktor merawat luka. Kita mengharapkan ubat tahan sakit. Kita berharap luka itu cepat sembuh.Tetapi di akhirat?
Tiada hospital. Tiada ubat. Tiada dressing. Tiada doktor. Tiada jalan keluar. Dan yang lebih menggerunkan, kesakitan itu bukan untuk beberapa minit atau beberapa jam. Ia terlalu lama. Ia adalah azab yang jauh lebih dahsyat.
Rasulullah SAW pernah menggambarkan bahawa api neraka mempunyai kepanasan 70 kali ganda daripada api dunia. Bayangkan api dunia yang kita kenali pun sudah cukup membuatkan kita takut. Api dapur pun kita tidak berani menyentuh. Minyak panas pun kita cuba elakkan. Apabila nampak api besar, kita berundur. Tetapi mengapa kita masih berani bermain-main dengan dosa?
Berani buat dosa
Mengapa kita masih berani menipu? Mengapa kita masih berani mengambil rasuah? Mengapa kita masih berani menzalimi manusia lain? Mengapa kita masih berani mengkhianati amanah? Mengapa kita begitu takut kepada sakit di dunia, tetapi tidak cukup takut kepada azab akhirat? Mungkin kerana api neraka tidak dapat kita lihat sekarang. Itulah ujian manusia.
Kita lebih mudah takut kepada sesuatu yang boleh dilihat daripada sesuatu yang hanya diketahui melalui iman. Tetapi bukankah iman itu bermaksud percaya kepada perkara ghaib? Allah SWT berfirman bahawa antara sifat orang bertakwa ialah mereka yang beriman kepada perkara yang ghaib. Maka persoalannya bukan apakah kita sudah melihat neraka. Persoalannya ialah adakah kita benar-benar percaya kepada Firman Allah?
Pengalaman saya terkena minyak panas mengajar saya sesuatu yang sangat sederhana tetapi sangat mendalam. Kesakitan itu nyata walaupun kita tidak mampu menggambarkan sepenuhnya bagaimana rasanya sebelum mengalaminya. Sebelum terkena minyak panas, saya hanya tahu secara teori bahawa ia sakit. Tetapi apabila ia benar-benar merasainya, baharulah saya memahami.
Begitu juga dengan kematian. Kita tahu ia akan datang. Tetapi kita belum mengalaminya. Kita tahu Alam Barzakh itu ada. Kalaulah ada orang mati dihidupkan semula dan bercerita tentang azab kubur, barangkali seluruh umat manusia akan menyembah Allah SWT.
Dan kerana belum melihatnya, manusia sering bertindak seolah-olah semuanya tidak wujud. Itulah kelalaian yang paling berbahaya. Kita hidup seolah-olah dunia ini selama-lamanya. Kita mengejar wang. Mengejar pangkat. Mengejar nama. Mengejar kuasa. Mengejar "like". Mengejar pujian manusia. Kadang-kadang kita sanggup menggadaikan prinsip dan agama untuk mendapatkan sesuatu yang hanya kita nikmati beberapa tahun. Sedangkan kita tahu, akhirnya kita akan meninggalkan semuanya.
Semua ditinggalkan menuju kubur
Harta yang kita kumpulkan akan ditinggalkan. Rumah yang kita banggakan akan ditinggalkan. Kereta yang kita sayangi akan ditinggalkan. Jawatan yang kita kejar akan berakhir. Pangkat yang kita pertahankan akan hilang jua. Tubuh yang kita jaga akan kembali menjadi tanah. Yang tinggal hanyalah amal dan pertanggungjawaban kita di hadapan Allah SWT.
Lalu saya bertanya kepada diri sendiri: “Kalau aku tidak sanggup menanggung sakit beberapa hari kerana minyak panas, bagaimana aku mahu berhadapan dengan azab Allah jika aku hidup dalam kemaksiatan, kemungkaran, wang rasuah dan mati tanpa taubat?”
Pintu taubat terbuka
Soalan itu amat menakutkan. Tetapi ia juga menyedarkan. Sesungguhnya peringatan tentang neraka bukan semata-mata untuk membuat manusia berputus asa. Sebaliknya, ia adalah amaran daripada Tuhan yang masih memberi kita peluang. Selagi kita hidup, pintu taubat masih terbuka. Selagi nyawa belum sampai ke halkum, kita masih boleh berubah.
Kalau pernah mengambil hak orang, pulangkanlah. Terutama harta anak yatim. Kalau pernah menipu, berhenti. Kalau pernah melakukan kezaliman, minta maaf. Kalau pernah mengambil rasuah, bertaubat dan kembalikan hak. Kalau selama ini terlalu mengejar dunia, berhentilah seketika dan lihat ke mana perjalanan hidup kita sedang menuju. Kerana kita semua sedang menuju satu tempat, kampung akhirat. Dan apabila saat itu tiba, kita tidak lagi boleh berpatah balik.
Semoga setiap kesakitan yang kita lalui di dunia menjadi sebab kita lebih dekat kepada Allah, bukan semakin jauh. Semoga setiap luka menjadi pengajaran. Semoga setiap rasa sakit menjadi sebab dosa-dosa kita diampunkan.
Dan semoga apabila tiba masa kita meninggalkan dunia ini, kita pergi dalam keadaan Allah SWT reda kepada kita.
Ya Allah, jika sakit dunia yang sedikit pun kami tidak mampu menanggungnya, maka jauhkanlah kami daripada api nerakamu. Ampunilah dosa-dosa kami, terimalah taubat kami, dan masukkanlah kami ke dalam rahmat-Mu serta syurga-Mu.
Dr Bam Al-Haj merupakan penulis bebas dan ahli NeuroMarketing Strategist.




Comments