top of page

Jangan Sebar Aib, Khianati Maruah Demokrasi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 11
  • 2 min read

ree

Oleh: Andre Lai Chen Heng


ULASAN: Saya menulis ini bukan sekadar sebagai seorang ahli politik, tetapi juga sebagai seorang manusia yang pernah merasai sendiri peritnya dikhianati melalui pencerobohan ruang peribadi. Hari ini politik kotor semakin menjadi-jadi sehingga sanggup menggunakan taktik mengintip, mencuri perbualan peribadi, dan menyebarkan aib.


Kita tidak boleh lupa bagaimana skandal Watergate di Amerika Syarikat pada tahun 1970-an membuka mata dunia. Ia bukan sekadar pencerobohan fizikal ke pejabat parti lawan, tetapi juga pencerobohan maruah peribadi. Perbualan sulit dicuri, maklumat peribadi disebarkan, hingga akhirnya Presiden Nixon tersungkur. Negara itu menanggung malu besar di mata dunia, dan demokrasi mereka tercedera.


Di Thailand pula, kita menyaksikan bagaimana Paetongtarn Shinawatra digantung tugas jawatan Perdana Menteri (oleh Mahkamah Perlembagaan) akibat perbualan peribadi yang disebarkan ke media. Peristiwa ini membuka mata ramai bahawa pemimpin yang sanggup mengintip dan menyebarkan maklumat peribadi adalah pemimpin yang sudah hilang keyakinan terhadap rakyat dan terhadap dirinya sendiri.


Merosakkan reputasi


Di Malaysia, kita juga tidak terlepas daripada budaya sebegini. Kita pernah melihat bagaimana rakaman peribadi — sama ada audio, video, atau mesej peribadi — dijadikan senjata untuk menjatuhkan maruah dan merosakkan reputasi seseorang. Saya sendiri tidak terkecuali daripada menjadi mangsa.


Dalam perjuangan Reformasi, kita tidak pernah mendidik ahli untuk menang dengan cara kotor. Kita tidak pernah mengajar bahawa kuasa mesti dipertahankan dengan mempergunakan aib orang lain. Malaysia Madani yang kita impikan bukan sekadar slogan, tetapi visi membina sebuah negara yang berteraskan maruah, integriti, dan keadilan.


Mengintip dan menyebarkan aib bukan sahaja mencederakan individu, malah merosakkan kepercayaan rakyat terhadap politik dan sistem demokrasi. Budaya ini menanam rasa takut, mewujudkan politik kebencian, dan menafikan ruang perdebatan sihat yang sepatutnya menjadi asas demokrasi.


Hati hati terima bahan di media sosial


Saya ingin mengingatkan rakyat Malaysia supaya lebih berhati-hati apabila menerima atau melihat video, rakaman, atau mesej peribadi yang tular. Kita mesti belajar menilai dengan matang: siapakah yang untung? Apakah niat sebenar di sebalik penyebaran itu?


Jangan biarkan diri kita dipergunakan untuk menyebarkan fitnah. Jangan biarkan kita menjadi alat kepada permainan politik yang tidak berprinsip.


Saya menyeru kepada semua pemimpin, kembalilah kepada prinsip asas. Hormatilah maruah manusia, walau berbeza pandangan politik. Rakyat tidak memilih kita untuk bermain politik kotor, tetapi untuk membawa solusi, membina masa depan, dan menjaga amanah dengan penuh integriti.


Tolak politik fitnah


Kepada rakyat, marilah kita sama-sama menolak politik fitnah dan politik intip. Politik yang matang dan bermaruah hanya wujud apabila kita mendidik masyarakat untuk menilai kebenaran, bukan sekadar menelan sensasi.


Akhirnya, kuasa datang dan pergi. Namun maruah dan integriti akan kekal menjadi cermin siapa kita yang sebenar. Jika kita benar-benar mahu melihat Malaysia Madani menjadi kenyataan, kita mesti berani menegakkan kebenaran dan memelihara maruah.


Penulis merupakan Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan dan Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju


*Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis, bukan pendirian rasmi Suara Keadilan

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page