Jangan salahkan tabiat berbelanja anak muda sedangkan kerajaan PN gagal naikkan gaji - AMK



Menteri Kerajaan Perikatan Nasional (PN) diingatkan supaya tidak mengambil jangan mudah menyalahkan golongan muda kononnya berbelanja mewah melebihi kemampuan.


Teguran itu diberi oleh Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Akmal Nasir dalam menjawab kenyataan Menteri Kewangan Senator Tengku Zafrul Aziz yang mendakwa 40% golongan milenial didapati berbelanja melebihi kemampuan sehingga menyukarkan kedudukan kewangan mereka.


Menurut Akmal, isu perbelanjaan anak muda tidak wajar dipukul rata seolah-olah mereka tidak tahu dan tidak bertanggungjawab dari segi pengurusan kewangan tanpa terlebih dahulu meneliti aspek lain yang menyumbang kepada perkara berkenaan.


"(Dalam hal ini) Menteri Kewangan perlu mempunyai sikap empati dan meletakkan diri di tempat orang muda yang sedang bergelut dengan situasi kurangnya peluang pekerjaan, tiada jaminan pekerjaan, kos sara hidup tinggi, perlu melakukan lebih dari dua kerja dan terpaksa berhadapan dengan bayaran gaji tidak berpadanan.


"Walaupun tidak dinafikan kepentingan literasi kewangan dan usaha yang digerakkan oleh pelbagai pihak seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), namun ia masih tidak dapat menyangkal isu pokok, terutama berkaitan dengan peningkatan gaji agak perlahan ditambah dengan kadar gaji minimum yang masih rendah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Akmal turut memetik kajian yang dijalankan oleh Mercer Malaysia, sebuah firma perunding kerjaya yang mendapati pada penghujung 2019 peratusan kenaikan gaji nominal di Malaysia, setelah diambil kira kadar inflasi memberikan bacaan 2.6 peratus.


Ketika itu, kata Akmal, Malaysia ketinggalan berbanding peningkatan gaji sebenar di Singapura sebanyak 3.5 peratus; Thailand (4.0 peratus); Vietnam (5.3 peratus); Indonesia (4.3 peratus) dan Filipina (2.8 peratus).


"Dapatan tersebut diambil sebelum pandemik Covid-19 melanda dan tentunya dalam keadaan proses pemulihan ekonomi yang terkesan teruk hari ini akan memberikan kebimbangan yang lebih ketara.


"Kerajaan juga perlu mengambil kira kesan berganda yang turut menyumbang kepada kadar hutang isi rumah seperti mana pernah dilaporkan hingga melebihi 80% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), serta laporan yang pernah Bank Dunia dedahkan sebelum ini iaitu 60% daripada kumpulan individu muflis di Malaysia adalah golongan belia yang berumur di antara 25 sehingga 44 tahun.


"Walaupun hingga kini Rancangan Malaysia ke-12 masih gagal dibentang namun kerajaan tidak boleh lepas tangan dalam menjelaskan kepada rakyat berhubung strategi mereka meningkatkan gaji minimum, menambahkan peluang pekerjaan, menurunkan kadar pengangguran dan banyak lagi perkara yang berkaitan," katanya.


Menurut Akmal lagi, amat tidak wajar Menteri Kewangan menegur orang muda mengenai pengurusan kewangan dengan beza pendapatan beliau yang amat luas berbanding orang biasa, tetapi beliau sepatutnya fokus mencari jalan penyelesaian bagi permasalahan mengakar yang kian membimbangkan, terutamanya untuk meningkatkan pendapatan rakyat.



0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER