top of page

Jangan salahkan kerajaan terdahulu, MB Ismail perlu jujur - Aminuddin

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
25 minutes ago
2 min read
Datuk Seri Aminuddin Harun. Gambar arkib
Datuk Seri Aminuddin Harun. Gambar arkib

Mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menggesa Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim supaya tidak menyalahkan kerajaan terdahulu berhubung kemelut membabitkan adat dan institusi Raja Negeri Sembilan sebaliknya tampil menjelaskan fakta serta rekod sebenar kepada rakyat.


Beliau berkata, jika terdapat kesalahan yang dilakukan pentadbiran terdahulu, Ismail perlu menyatakan dengan jelas tindakan yang didakwa gagal dilaksanakan, peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS) yang dilanggar serta bila pelanggaran itu berlaku.


"Jangan sekadar menggunakan istilah ‘kerajaan terdahulu’ sebagai jawapan umum.


"Jika ada kesalahan, nyatakan kesalahannya. Jika ada pelanggaran undang-undang, nyatakan peruntukannya," katanya menerusi hantaran di media sosial.


Aminuddin yang juga Pengerusi PH negeri berkata, beliau sedia dipertanggungjawabkan atas setiap keputusan yang dibuat ketika menjadi Menteri Besar berdasarkan rekod, dokumen dan kronologi yang ada.


Menurutnya, beliau sendiri pernah diminta menandatangani dokumen proklamasi bertarikh 19 April 2026 yang dikemukakan kepadanya pada 20 April ketika masih menjadi Menteri Besar, namun memilih untuk tidak menandatanganinya.


Katanya keputusan itu dibuat kerana terdapat persoalan serius berkaitan proses di bawah Perkara 10 UUTKNS termasuk isu sama ada siasatan yang penuh dan lengkap telah dilaksanakan serta persoalan kedudukan salah seorang Undang Luak yang terlibat.


"Saya mengambil pendirian berdasarkan nasihat undang-undang yang betul bahawa seorang Menteri Besar tidak sepatutnya meletakkan tandatangannya pada sebuah dokumen yang mempunyai implikasi begitu besar terhadap institusi Raja selagi persoalan mengenai proses dan kesahihannya belum benar-benar jelas," katanya.


Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mempersoalkan tindakan Ismail yang didakwa menandatangani dokumen sama pada 3 Ogos lalu selepas dilantik sebagai Menteri Besar, sebelum mendakwa tandatangan itu dibuat secara paksaan.


Dokumen yang ditandatangani Ismail pada 3 Ogos itu sebelum ini didedahkan Undang Yang Empat (termasuk yang dipertikai keabsahan jawatan) mendakwa tandatangan berkenaan melengkapkan surat cara proklamasi di bawah Perkara 10(2) UUTKNS.


"Jika saya ketika menjadi Menteri Besar boleh membuat keputusan untuk tidak menandatangani dokumen tersebut kerana mempunyai keraguan terhadap prosesnya, bagaimana pula tandatangan Menteri Besar selepas saya boleh berada pada dokumen yang sama?" soalnya.


Aminuddin berkata dakwaan Ismail bahawa beliau dipaksa menandatangani dokumen berkenaan sewajarnya diserahkan kepada pihak berkuasa untuk disiasat namun persoalan mengenai keadaan yang membawa kepada tandatangan itu tetap perlu dijelaskan kepada rakyat.


Dalam pada itu, beliau berkata pertikaian mengenai Perkara 10 bukan perkara yang boleh dipandang ringan memandangkan ia membabitkan proses perlembagaan berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.


Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 17 September lalu menyatakan proklamasi bertarikh 19 April 2026 tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS, termasuk tiada keterangan bahawa faktor hilang kelayakan di bawah peruntukan itu terpakai kepada Tuanku Muhriz.


Bagaimanapun, Sekretariat Majlis Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin menolak pendirian berkenaan dengan mendakwa proses siasatan telah dilaksanakan pada 5 Mac dan 19 April sebelum proklamasi dikeluarkan.


Aminuddin berkata perbezaan pendirian itu menunjukkan persoalan mengenai pematuhan Perkara 10 masih merupakan isu substantif yang perlu dijelaskan berdasarkan fakta dan rekod.


"Saya bersedia bertanggungjawab terhadap setiap keputusan yang saya buat semasa menjadi Menteri Besar. Jika ada keputusan saya yang mahu dipersoalkan, kemukakan dokumen, tarikh dan peruntukan undang-undang yang berkaitan.


"Saya akan menjawab berdasarkan rekod," katanya.


Beliau turut mengingatkan bahawa isu membabitkan UUTKNS, Adat Perpatih dan institusi Yang di-Pertuan Besar memerlukan penjelasan berasaskan fakta serta proses sebenar, bukannya saling menuding jari.


"Tidak rugi menjadi pemimpin yang jujur. Tidak tercela mempertahan kebenaran," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page